OPERASI mencari dua sepupu yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba.
OPERASI mencari dua sepupu yang dikhuatiri lemas. FOTO Ihsan Bomba.
Roselan Ab Malek


Temerloh: Dua sepupu dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus deras di Sungai Pahang di Kampung Loyang dekat Sanggang di sini, pada 4.50 petang, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Hakim Faqih Norazmi, 16, dari Kampung Desa Murni dan Mohammad Naufal Farhan Mohd Azrul, 9, dari Kampung Loyang Sanggang dekat sini.

Mereka ke sungai berkenaan bersama tiga lagi ahli keluarga dengan menunggang motosikal pada 4.15 petang.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman berkata, ketika sedang mandi, Naufal Farhan tiba-tiba menghadapi kesukaran di dalam air akibat arus deras.

"Hakim Faqih cuba berenang ke arah Naufal untuk menariknya, namun tidak berjaya dan dia turut dihanyutkan arus deras.

"Beberapa penduduk kampung yang berada di tebing terjun ke dalam sungai dan cuba mengesan mangsa tetapi gagal, " katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohd Yusri berkata, operasi mencari dan menyelamat dimulakan sebaik menerima panggilan pada 4.50 petang yang turut disertai bomba, Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan penduduk kampung.

Bagaimanapun, katanya, operasi dihentikan pada 7.30 malam memandangkan cuaca gelap dan akan disambung semula esok.

Menurutnya, tiga ahli keluarga lain yang turut serta mandi di sungai itu adalah kakak Hakim Faqih berusia 19 tahun; kakak Naufal Farhan yang berusia 10 tahun dan bapa saudara mereka berusia 36 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mac 2021 @ 11:15 PM