ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Sungai Petani melakukan pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Merah. FOTO ihsan pembaca
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat dari Sungai Petani melakukan pencarian mangsa yang dikhuatiri lemas di Sungai Kuala Merah. FOTO ihsan pembaca
Safuri Kamarudin


Baling: Operasi mencari remaja, Mohd Saiful Aiman Kilinam, 16, yang hilang di Sungai Kuala Merah, semalam, disambung anggota Bomba dan Penyelamat Baling, 8 pagi tadi.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Baling, Penolong Penguasa Bomba Mohd Suffian Alias berkata, anggota unit scuba dari Sungai Petani turut membantu operasi itu.

"Operasi mencari bermula petang semalam dan disambung 8 pagi ini di beberapa kawasan kerana bimbang mangsa tersangkut di kayu atau tenggelam dalam lubuk.

"Bagaimanapun mangsa masih belum ditemui. Dengan cuaca yang tidak menentu dan air sungai keruh turut menyukarkan operasi mencari mangsa di sungai itu," katanya.

Dalam kejadian petang semalam, Mohd Saiful Aiman dari Kampung Batu 5, Kuala Ketil dikhuatiri lemas dipercayai keletihan selepas mandi-manda dan berenang di sungai itu pada 3.30 petang.

Menurut rakannya, Mohd Hamizan Irwan, 14, mereka ke sungai itu untuk mandi. Bagaimanapun, dia hanya memerhati di atas tebing ketika empat rakannya yang lain mandi di sungai itu.

"Mereka berenang ke seberang dan berpatah balik sebelum tiba-tiba Saiful Aiman terkapai-kapai dipercayai keletihan sebelum sampai ke tebing.

"Rakan yang lain cuba membantu dan menarik tangannya tetapi tidak terdaya kerana arus kuat dan dia dihanyutkan dalam sekelip mata," katanya yang berlari mendapatkan bantuan penduduk kampung.

Mohd Hamizan berkata, mereka ke sungai itu bersama Mohd Akil Asfah Isa,16, Mohd Aiman Syafik Yusri, 16, Nuryani Yahya,16, dan mangsa Mohd Saiful Aiman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Disember 2016 @ 5:29 PM