Sungai Petani: Lebih 1,000 penduduk dari enam kampung di pesisir pantai Kampung Sungai Muda, Kota Kuala Muda, di sini, membuat persiapan rapi menghadapi gelombang kedua fenomena air pasang besar bermula, hari ini.

Fenomena yang menyebabkan ombak laut bergelora sehingga memecah tebing pantai menyebabkan rumah penduduk dimasuki air.

Difahamkan, 150 rumah penduduk dari enam kampung dijangka terjejas dengan gelombang kedua kali ini.

Tinjauan Harian Metro mendapati walaupun air belum memasuki rumah penduduk, ombak bergelora sekitar jam 11 pagi semalam cukup kuat sehingga beberapa pokok di tepi tebing tumbang.

Selain itu, turut berlaku ombak setinggi 0.5 meter sehingga beberapa kawasan tepi pantai dilimpahi air laut.

Malah, kesan kehadiran siput atau kerang sehingga ke tengah jalan memberi makna kesan fenomena itu ketika gelombang pertama pada akhir bulan lalu belum surut.

Penduduk Kampung Sungai Muda, Saifurizal Mohamad, 51, berkata, fenomena air pasang yang berlaku pada akhir bulan lalu memberi kesempatan kepadanya bersedia kali ini.

“Sebaik menerima maklumat mengenai gelombang kedua ini, kami sekeluarga mempersiapkan langkah dengan meletakkan barangan di tempat tinggi dan selamat,” katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Sungai Meriam, Abdullah Mat Jusoh berkata, guni pasir milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah diletakkan di tepi pantai kampung itu Isnin lalu berikutan ombak semakin menghakis pantai berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Oktober 2016 @ 10:20 AM
KELIHATAN bot nelayan menyusuri laut ketika tinjauan di pesisir pantai Leman, Kuala Kedah.
KELIHATAN bot nelayan menyusuri laut ketika tinjauan di pesisir pantai Leman, Kuala Kedah.