GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Lumpur: Penduduk kawasan pesisiran pantai di Selangor membabitkan daerah Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang dan Kuala Langat sudah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang air pasang besar dijangka bermula Khamis ini.

Fenomena yang kerap kali menyebabkan banjir dan limpahan air laut itu turut akan berlaku di daerah Kuala Muda di Kedah; Perak (Bagan Datuk); serta Johor (Batu Pahat dan Pontian).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sabak Bernam, Mohd Saufi Zakaria berkata, pihaknya kini membuat rondaan secara berkala di kawasan berisiko sebagai persiapan awal berdepan bencana itu.

"Seramai 10 anggota bomba akan dipecahkan kepada tiga kumpulan kecil. Lokasi rondaan kami bermula dari Bagan Sungai Pulai sehingga ke Sungai Air Tawar," katanya tadi.

Justeru, Mohd Saufi berkata, pihaknya akan berusaha memastikan tiada penduduk diancam bahaya akibat air pasang besar.

"Sekiranya ada kawasan penempatan yang terjejas dan perlu dipindahkan, kami akan berhubung dengan Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Sabak Bernam untuk tindakan pemindahan.

"Jika tiada pemindahan dilakukan, kami akan menasihatkan penduduk dan menjelaskan langkah terbaik semasa berdepan dengan fenomena ini," katanya.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Selangor turut bersiap sedia bagi menghadapi gelombang air pasang besar itu.

Pemangku Pegawai APM Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, kemudahan logistik termasuk kenderaan sudah diatur sebaiknya bagi memudahkan urusan semasa bencana berlaku.

Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Klang mengenal pasti 11 kawasan yang berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar.

Kawasan itu adalah Kampung Tok Muda, Kampung Sungai Pinang di Pulau Indah, Pandamaran, Taman Selat Damai di Pelabuhan Klang, Kampung Sungai Serdang, Ban Sementa, Ban Sungai Keramat, Kampung Perepat, Pelabuhan Utara, Telok Gong dan Pulau Ketam.

Sebelum ini, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS) Malaysia mengingatkan orang ramai terutama penduduk di pesisir pantai khususnya negeri di Pantai Barat Semenanjung Malaysia supaya berwaspada dengan fenomena air pasang besar.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ir Nor Hisham Mohd Ghazali dilaporkan berkata, kejadian ini akan menjadi lebih buruk sekiranya disertai angin kencang, ombak besar dan hujan lebat yang berlaku serentak sekaligus menyebabkan berlakunya banjir kilat, limpahan air laut dan banjir pantai (coastal flooding).

Sehubungan itu, orang ramai khususnya pengunjung pantai dinasihati lebih berhati-hati dan tidak menjalankan sebarang aktiviti air, riadah dan rekreasi pada tarikh dinyatakan di kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 November 2021 @ 7:54 PM