PUSAT pemindahan banjir di Kampung Tok Muda Klang. FOTO ihsan Bomba
PUSAT pemindahan banjir di Kampung Tok Muda Klang. FOTO ihsan Bomba
PADANG Jalan Pekeliling, Pelabuhan Klang ditenggelami air, semalam berikutan berlaku fenomena air pasang besar. FOTO Faiz Anuar
PADANG Jalan Pekeliling, Pelabuhan Klang ditenggelami air, semalam berikutan berlaku fenomena air pasang besar. FOTO Faiz Anuar
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Seramai 224 mangsa banjir daripada 52 keluarga ditempatkan di tiga pusat pemindahan di Kampung Tok Muda, Klang; Kampung Tok Adam, Tanjong Karang; dan Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam sehingga 8 pagi tadi.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, fenomena air pasang besar itu mengakibatkan Kampung Tok Muda, Klang mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 152 mangsa daripada 34 keluarga yang kini ditempatkan di Dewan Kampung Tok Muda.

Katanya, Kampung Sungai Air Tawar, Sabak Bernam merekodkan 57 mangsa daripada 15 keluarga dan ditempatkan di Dewan Orang Ramai Sungai Air Tawar manakala di Kampung Tok Adam, Tanjong Karang, 15 mangsa daripada tiga keluarga terpaksa dipindahkan ke Balairaya Lorong Hamzah 2 kerana rumah mereka dinaiki air.

"Beberapa kawasan di Klang turut banjir termasuk Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Jalan Klang, Pandamaran, Taman Selat Damai dan Pelabuhan Klang namun mereka tidak dipindahkan.

"Di Tanjong Karang kawasan yang terlibat adalah di Bagan Pasir dan di Sabak Bernam adalah Tebuk Mendeleng serta Sungai Lang namun tiada pemindahan dilakukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 September 2016 @ 10:04 AM