KHAIRUN (dua dari kanan) menyampaikan Jalur Gemilang dan sarapan percuma kepada pelanggan KPJ pada Program Merdeka Break.
KHAIRUN (dua dari kanan) menyampaikan Jalur Gemilang dan sarapan percuma kepada pelanggan KPJ pada Program Merdeka Break.
Norazimah Narudin

Johor Bahru: Hospital Pakar KPJ Puteri di negeri ini menyasarkan 100 wanita berusia 40 tahun ke atas membuat pemeriksaan mamogram di hospital berkenaan bersempena program Hari Kebangsaan yang diadakan selama sebulan.

Ketua Pengarah Eksekutifnya, Khairun Ahmad berkata, perkhidmatan pemeriksaan mamogram bermula pada 31 Ogos sehingga 30 Oktober di lima cawangan KPJ Puteri di negeri ini.

Katanya, orang ramai boleh melakukan pemeriksaan itu di lima rangkaian KPJ di negeri ini termasuk di KPJ Pasir Gudang, KPJ Kluang Utama dan KPJ Maharani, Batu Pahat.

“Kali ini kami menyediakan dua jenis pemeriksaan mamogram iaitu analog dan digital. Kami galakan wanita berusia 40 ke atas untuk tampil membuat pemeriksaan kerana lingkungan usia ini berisiko diserang kanser payudara.

“Bagi pemeriksaan analog, pelanggan akan membayar RM59 manakala bagi pemeriksaan digital dikenakan bayaran RM159. Angka 59 ini simbolik 59 tahun negara kita merdeka,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan sarapan pagi dan cenderahati sempena Hari Kebangsaan di perkarangan hospital itu di sini, semalam.

Katanya, pihaknya meminta golongan wanita yang berminat membuat pemeriksaan mamogram dinasihatkan membuat temujanji supaya memudahkan prosedur yang akan dijalankan.

Khairun berkata, setakat ini 700 hingga 800 wanita di negeri ini tampil membuat pemeriksaan mamogram di hospital itu.

Selain itu, KPJ turut mengedar 200 bungkus sarapan pagi dan beg cenderahati mengandungi Jalur Gemilang kepada orang ramai dan pesakit di hospital itu.

“Aktiviti seperti ini diharap dapat menaikkan lagi semangat patriotik orang ramai dan warga kerja di hospital ini sekali gus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Ogos 2016 @ 5:15 AM