NASYA Ameera (kiri) dan Shamini Visunada, 23, (kanan) akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Konsultasi Klien Piala Brown Mosten (ICCC) di Dublin, Ireland. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
NASYA Ameera (kiri) dan Shamini Visunada, 23, (kanan) akan mewakili Malaysia ke Pertandingan Konsultasi Klien Piala Brown Mosten (ICCC) di Dublin, Ireland. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

DUA penuntut Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dipilih mewakili Malaysia ke Pertandingan Konsultasi Klien Piala Brown Mosten (ICCC) di Dublin, Ireland, 3 hingga 6 April depan.

Mereka adalah penuntut tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang, Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa (FUHA) di UniSZA.

Nasya Ameera Mazlan, 25, dan Shamini Visunada, 23, sebelum ini menjadi juara Pertandingan Konsultasi Klien Peringkat Kebangsaan yang dianjurkan UniSZA baru-baru ini.

Shamini berkata, dia berasa bertuah apabila dipilih mewakili UniSZA dan Malaysia ke ICCC dan peluang yang diberikan itu tidak akan dipersia-siakan.

“UniSZA sudah tiga kali berturut-turut layak ke ICCC peringkat antarabangsa, jadi kami ingin memberikan kejutan kepada UniSZA dengan membawa kemenangan dalam pertandingan yang disertai banyak universiti dari pelbagai negara itu.

“Kami sudah menjalankan persiapan yang sewajarnya dan terserah kepada rezeki sama ada berjaya menarik perhatian juri atau sebaliknya.

“Apa yang penting, kami akan berusaha sedaya mungkin mempamerkan persembahan yang terbaik sepanjang pertandingan itu nanti,” katanya.

Sementara itu, Penasihat Kelab Mut UniSZA, Khairun Nisaa Asari berkata, UniSZA menjadi juara selepas menewaskan Universiti Malaya di peringkat akhirselain dua universiti lain iaitu Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

“Ini kali ketiga UniSZA menjadi juara di peringkat kebangsaan iaitu pada 2017, 2018 dan 2019.

“Tahun lalu, UniSZA juga mewakili Malaysia tetapi hanya berpuas hati di tempat ketiga daripada 22 universiti yang bertanding di Belanda,” katanya.

Khairun Nisaa berkata, dia gembira dan berpuas hati dengan pencapaian dua peserta itu kerana berjaya sekali lagi mewakili Malaysia ke peringkat antarabangsa sekali gus mengharumkan nama UniSZA.

“Terima kasih kepada semua pihak yang banyak membantu dan bekerjasama baik sepanjang pertandingan berlangsung.

“Saya yakin mereka akan melakukan yang terbaik dan ketika ini, mereka giat berlatih untuk persediaan pertandingan padaApril nanti,” katanya.

Pertandingan itu dianjurkan pada setiap tahun dan peserta dinilai serta diuji melalui keyakinan dan kebolehan mereka berdepan pelanggan selain perlu melakonkan satu babak berjumpa dengan peguam.

Setiap peserta perlu menunjukkan kefasihan, kefahaman mengenai sesuatu isu malah penyampaian yang dibuat sepanjang pertandingan perlu meyakinkan.

Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:50 PM