DORIS Boo (tengah) bersama Pegawai Eksekutif Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Mastura Md Taher (tiga dari kiri) dan Ketua Jabatan Radiologi KPJ Puteri, Nasir Sumadi (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai program ketika sidang media Program Mamogram Kanser Payudara bersama Yayasan Bandaraya di BCSG JB Centre, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
DORIS Boo (tengah) bersama Pegawai Eksekutif Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Mastura Md Taher (tiga dari kiri) dan Ketua Jabatan Radiologi KPJ Puteri, Nasir Sumadi (dua dari kiri) menunjukkan risalah mengenai program ketika sidang media Program Mamogram Kanser Payudara bersama Yayasan Bandaraya di BCSG JB Centre, Johor Bahru. FOTO Hairul Anuar Rahim
Izlaily Nurul Ain Hussein


SERAMAI 300 wanita sekitar Johor Bahru berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan mamogram secara percuma menerusi Projek Mamogram Percuma tajaan Yayasan Bandaraya Johor Bahru dengan kerjasama Persatuan Sokongan Kanser Payudara (BCSG) Johor Bahru dan Hospital Pakar KPJ Puteri.

Program berkenaan menawarkan pemeriksaan mamogram percuma kepada 300 wanita berisiko tinggi yang tinggal di kawasan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) selain dikategorikan dalam golongan keluarga berpendapatan rendah.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abdul Samad merangkap Pengerusi Yayasan Bandaraya Johor Bahru, dijangka merasmikan program berkenaan pada Sabtu ini di Dewan Serbaguna Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Stulang, Johor Bahru.

Menurut Penyelaras Projek, Doris Boo, ini adalah inisiatif yang diambil bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terutamanya wanita mengenai kanser payudara untuk membuat ujian pengesanan awal bagi menyelamat nyawa mereka.

Beliau berkata, pemeriksaan mamogram percuma itu disasarkan kepada wanita berusia 40 tahun ke atas termasuk mereka yang dikategorikan sebagai kumpulan pendapatan terendah 40 peratus (B40) iaitu pendapatan isi rumah di bawah RM3,500.

"Mereka yang ingin membuat pendaftaran perlu membawa kad pengenalan pada Sabtu ini dan mereka yang layak akan dirujuk ke Hospital Pakar KPJ Puteri untuk menjalankan ujian berkenaan.

"Bagi wanita yang dikesan positif kanser, diharap mereka dapat menjalani pemeriksaan lanjut dan mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau swasta, selain merujuk ke BCSG yang sedia memberikan bimbingan dan khidmat nasihat," katanya ketika sidang media mengenai program berkenaan, hari ini.

Turut hadir, Presiden BCSG, Jessie Lim, Pegawai Eksekutif Yayasan Bandaraya Johor Bahru, Mastura Md Taher dan Ketua Jabatan Radiologi, KPJ Puteri, Nasir Sumadi.

Doris berkata, pada program pelancaran Sabtu ini, pelbagai aktiviti diadakan seperti pameran dan ceramah kesedaran kanser payudara, pemeriksaan sendiri payudara (PSP), tanda awal kanser payudara, pemeriksaan kesihatan dan perundingan dengan pakar pemakanan.

Sementara itu, Mastura berkata, mereka yang layak untuk menjalani pemeriksaan mamogram percuma itu boleh membuat temu janji pemeriksaan di KPJ Puteri bermula November ini hingga Februari tahun depan secara berperingkat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:12 PM