KEADAAN bahagian depan bas yang remuk selepas merempuh lori awal pagi semalam.
KEADAAN bahagian depan bas yang remuk selepas merempuh lori awal pagi semalam.
Amrullah Abdul Karim

Bukit Beruntung : Belum pun reda trauma 28 penumpang sebuah bas ekspres yang dipercayai hilang kawalan sebelum merempuh 10 kereta berhampiran Terowong Menora kelmarin, seramai 26 penumpang turut berdepan detik cemas apabila bas dinaiki terbabit kemalangan dengan lori di Kilometer 422.3 Lebuh raya PLUS arah selatan selepas Plaza Tol Bukit Tagar di sini jam 3.10 awal pagi semalam.

Dalam kemalangan itu, seorang penumpang wanita berusia 23 tahun cedera di dahi manakala penumpang lain termasuk pemandu kedua-dua kenderaan tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, bas ekspres itu dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Johor Bahru.

“Setibanya di tempat kejadian, pemandu bas melanggar bahagian belakang kanan lori yang membawa muatan tembikai.

“Akibat perlanggaran itu lori berkenaan terbabas ke kiri lebuh raya dan melanggar penghadang jalan,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati lebuh raya itu mempunyai tiga lorong dengan jalan berselekoh, cuaca gelap, tiada lampu jalan dan tiada kesan brek.

Katanya, ketika kejadian lalu lintas juga lancar.

“Hanya seorang saja penumpang cedera pada dahi manakala penumpang lain termasuk pemandu bas dan lori tidak cedera,” katanya.

Menurutnya, ujian awal saringan air kencing terhadap pemandu bas terbabit juga sudah dijalankan dan keputusannya negatif.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Julai 2016 @ 9:23 AM