BAS dalam perjalanan dari Thailand ke Singapura yang  terbabit nahas.
BAS dalam perjalanan dari Thailand ke Singapura yang terbabit nahas.

Slim River: Seorang pemandu bas lelaki berusia 25 tahun maut manakala lapan penumpang cedera dalam kemalangan bas ekspres yang merempuh sebuah lori di Kilometer 383.2 Lebuhraya Utara-Selatan, arah selatan, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 2.50 pagi, mangsa Nurul Yatimi Mohamed Noor, 25, dari Batu Kurau, Perak meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit selepas melanggar belakang lori itu.

Turut cedera lapan penumpang bas warga Thailand dan Singapura berusia 26 hingga 67 tahun serta seorang lagi pemandu bas, Mohd Rokdi Ahmad, 46, berasal dari Bukit Gantang hanya mengalami cedera ringan manakala pemandu lori berusia 33 tahun dan 19 penumpang bas yang lain tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Muallim Superintendan Ahmad Mat Isa berkata, siasatan awal polis mendapati bas berkenaan dalam perjalanan dari Hatyai, Thailand menghala ke Singapura.

Katanya, ketika kejadian mangsa memandu bas di lorong tengah lebuh raya di belakang lori menyebabkan pemandu lori masuk ke lorong kecemasan.

Menurutnya, akibat perlanggaran itu juga didapati bas melekat belakang lori dan mangsa dipercayai mati di tempat kejadian selepas tersepit di tempat duduk pemandu kenderaan itu.

“Berikutan rempuhan itu, bahagian depan bas dan belakang lori mengalami kerosakan yang teruk dan siasatan polis di tempat kejadian menemui kesan heretan 50 meter.

“Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Slim River untuk bedah siasa, manakala penumpang bas yang cedera turut dibawa ke hospital sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 8:47 AM