SHAFIEN  (kiri) menunjukkan parang yang digunakan penyamun  pada sidang media di IPK Selangor.
SHAFIEN (kiri) menunjukkan parang yang digunakan penyamun pada sidang media di IPK Selangor.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Seorang penyamun sempat membeli barang kemas bernilai lebih RM3,000 untuk dihadiahkan kepada isterinya menggunakan wang hasil rompakan.

Suspek berusia 23 tahun itu dikatakan membeli barang kemas itu selepas merompak sebuah pasar raya di Kota Kemuning di sini, jam 8 pagi kelmarin.

Bagaimanapun suspek berjaya ditahan polis Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di rumahnya di Kampung Johan Setia, Klang di sini, selepas beberapa jam melakukan jenayah itu.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, polis menemui wang tunai RM7,000, jaket, topi keledar, barang kemas serta beberapa kotak rokok dipercayai hasil samun ketika melakukan serbuan jam 1.30 petang kelmarin.

Menurutnya, siasatan mendapati suspek menggunakan topeng serta memakai topi keledar ketika merompak pengurus premis itu bersenjatakan pisau.

“Suspek mengugut mangsa menyerahkan sejumlah wang yang disimpan di dalam bilik di premis itu.

“Mangsa yang bimbang dicederakan menyerahkan wang dan suspek sempat mengambil beberapa kotak rokok sebelum melarikan diri,” katanya ketika ditemui selepas Kempen Derma Darah sempena Hari Polis ke-209 di sini, semalam.

Shafien berkata, siasatan awal mendapati suspek adalah bekas pekerja pasar raya itu dan diberhentikan kerja oleh pihak pengurusan awal tahun lalu.

“Jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan lebih RM13,000 dan kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 April 2016 @ 6:48 AM