GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Siraj Mohd Zaini


Shah Alam: Lelaki diberkas polis selepas lebih dua jam menyamun kedai serbaneka di Jalan Pelabur, Seksyen 23, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 1.50 pagi itu, suspek berusia 20 tahun bersama seorang lagi rakannya memasuki premis terbabit dan mengarahkan pekerja lelaki warga Bangladesh membuka laci menyimpan wang sebelum melarikan wang tunai dan beberapa kotak rokok dianggarkan berjumlah RM300.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, mangsa kemudiannya menghubungi pihak polis dan penelitian rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dapat mengecam pakaian yang dipakai kedua-dua suspek.

"Kira-kira 4 pagi, anggota polis peronda (MPV) yang membuat tugas rondaan melihat kelibat motosikal dinaiki dua lelaki dalam keadaan mencurigakan di stesen pam minyak di Seksyen 18.

"Penunggang motosikal itu memakai baju sama seperti di dalam rakaman CCTV dan polis mengejar mereka sehingga di hadapan kilang di Seksyen 24. Motosikal yang dinaiki mereka kemudiannya terbabas dan terjatuh dan seorang suspek ditahan manakala rakannya meloloskan diri," katanya.

Beliau berkata, suspek mengaku terbabit dengan kegiatan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Ogos 2016 @ 3:12 PM