Siraj Mohd Zaini


POLIS Selangor berjaya menyelesaikan lapan kes samun kedai emas di negeri ini dan dua lagi di Kuala Lumpur dengan tertangkapnya tujuh lelaki di Kampung Lalang, Hampar Tenang, Dengkil, semalam.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata, jumlah keseluruhan kerugian dalam lapan kes samun di negeri ini sejak 2015 lalu dianggarkan berjumlah RM15 juta.

Menurutnya, tujuh lelaki berusia 17 hingga 45 tahun itu ditahan reman di Mahkamah Majistret Kajang pada hari ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mengenai tangkapan semalam, polis merampas sepucuk pistol Revolver Heavy Barrel, empat tukul besi dan sejumlah barang kemas dianggarkan bernilai RM3 juta.

"Selain itu, tujuh kenderaan pelbagai jenis, topeng muka, topi keledar dan telefon bimbit pelbagai jenama turut dirampas," katanya.

Mazlan berkata, semua tujuh lelaki berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau dan pihaknya masih memburu saki baki ahli kumpulan berkenaan.

Dalam kejadian jam 11 pagi semalam, semua suspek yang bersenjatakan pistol dan tukul besi telah merompak kedai emas di pasar raya di Bandar Tun Hussein Onn, Cheras.

Bagaimanapun, mereka ditangkap di Kampung Lalang, Hampar Tenang, Dengkil, kira-kira jam 2 petang semalam ketika bersembunyi di sebuah rumah teres milik ahli keluarga salah seorang suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 Julai 2017 @ 11:32 AM
Polis menunjukkan sebahagian barangan kemas yang dirampas. FOTO  Mohd Asri Saifuddin Mamat
Polis menunjukkan sebahagian barangan kemas yang dirampas. FOTO Mohd Asri Saifuddin Mamat