PEGUAM bela  berbincang dengan Nagarajan selepas pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan di  Hospital Selayang.
PEGUAM bela berbincang dengan Nagarajan selepas pertuduhan terhadap tertuduh dibacakan di Hospital Selayang.

Kuala Lumpur: Seorang pemandu lori yang menjalani rawatan di Hospital Selayang, dekat sini, akibat kecederaan ditembak polis, didakwa di hospital itu semalam atas tiga tuduhan, termasuk cuba membunuh dengan melibas parang ke arah seorang lelaki ketika merusuh di Balai Polis Serendah, Hulu Selangor, awal bulan ini.

Tertuduh, A Nagarajan, 32, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu Zulhelmy Hasan.

Tertuduh yang mengalami kecederaan di lutut kiri dan kini dirawat di Wad 6D hospital itu dilihat tenang sepanjang prosiding itu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa melibaskan parang ke arah R Arishankar, 25, yang juga pemandu lori sehingga boleh menyebabkan kematian mangsa dan didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda, jika disabitkan kesalahan.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu jam 11.34 malam pada 3 April lalu di Balai Polis Serendah.

Selain itu, dia juga mengaku tidak bersalah memiliki parang berukuran 61 sentimeter pada masa, tarikh dan waktu sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan, jika disabit kesalahan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 19 April 2016 @ 6:49 AM