BERNAMA

Petaling Jaya: Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi tiga pertuduhan termasuk mencederakan anak serta menunjukkan kemaluan kepada anak tirinya awal bulan lalu.

Lelaki berusia 37 tahun itu, mengaku tidak bersalah bagi ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Salamiah Salleh.

Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan kepada anaknya yang berusia tiga tahun menggunakan sebuah meja dan mencederakan anak tirinya berusia 14 tahun.

Bagi kesalahan mencederakan menggunakan meja, dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau antara dua hukuman itu.

Bagi kesalahan mendatangkan cedera, dia didakwa mengikut Seksyen 323 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga dituduh mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan mengaibkan iaitu membuka tuala dan menunjukkan kemaluannya kepada anak tirinya yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Terdahulu, tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan mendatangkan kecederaan parah terhadap isterinya yang berumur 32 tahun dengan memukul wanita itu sehingga patah tulang hidung menggunakan kayu meja.

Dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 40 tahun dan boleh dikenakan sebat jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Lembah Subang di sini, pada 5 petang, 5 Februari lalu.

Mahkamah Sesyen membenarkan jaminan RM15,000 bagi kesalahan itu dengan syarat tidak boleh mendekati mangsa dengan apa cara sekalipun dan melaporkan diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Di Mahkamah Majistret pula, Timbalan Pendakwa Raya Mary Phoon Keat Mee menawarkan jaminan RM6,000 untuk setiap pertuduhan berserta syarat tambahan sama seperti ditetapkan Mahkamah Sesyen.

Tertuduh yang diwakili peguam P Chakaravarthi memohon mahkamah mengenakan jaminan rendah dengan alasan penanggung utama keluarga dan tidak mampu membayar jaminan yang tinggi kerana bekerja sebagai pemandu lori.

Mahkamah Majistret membenarkan jaminan RM7,000 bagi ketiga-tiga pertuduhan serta menetapkan 20 Mac untuk sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Februari 2017 @ 7:49 PM