ARSHAD menunjukkan tabung yang dikopak penjenayah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
ARSHAD menunjukkan tabung yang dikopak penjenayah. FOTO Amirul Aiman Hamsuddin
Amirul Aiman Hamsuddin


Sekinchan: "Dalam tempoh enam hari saja, tiga kali masjid dipecah masuk. Bagi saya, jarang berlaku kejadian seumpama ini," kata Nazir Masjid At-Taufiqiah, Parit 4, Arshad Ramli berhubung kes curi di masjid berkenaan yang tular di laman sosial sejak semalam.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku pada 2 Disember lalu apabila pihaknya menyedari cermin pintu gelongsor bahagian belakang pecah dan dua tabung iaitu tabung anak-anak yatim serta tabung masjid dikopak.

"Dua tabung itu dikopak oleh individu tidak bertanggungjawab namun duit di dalamnya gagal diambil susulan tabung itu mempunyai dua mangga iaitu di bahagian luar dan dalam.

"Keesokan harinya (3 Disember), masjid sekali lagi dipecah masuk. Kali ini, individu itu mengopak tabung masjid dan melarikan wang berjumlah RM150," katanya ketika ditemui di masjid berkenaan, hari ini.

Arshad berkata, kejadian sama kembali berulang pada 7 Disember lalu apabila tabung utama masjid itu menjadi sasaran dan pemutar nombor rahsia dipecahkan, namun tidak dapat dibuka.

"Kalau sebelumnya individu itu memasuki pintu gelongsor di bahagian belakang masjid sebanyak dua kali, kali ini dia sasarkan pula jeriji pintu masuk utama ruang solat," katanya.

Beliau berkata, pihaknya membuat tiga laporan polis susulan kejadian terbabit dan mengambil tindakan menggantikan pintu gelongsor dengan membina dinding serta memasang jeriji besi di kawasan berisiko.

"Kami membelanjakan sebanyak RM1,500 bagi pembinaan dinding yang menggantikan pintu gelongsor dan RM1,100 untuk jeriji besi baharu.

"Harap kejadian seperti ini tidak berulang kembali, lebih-lebih lagi ia berlaku di dalam rumah Allah," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.

"Kita mengesyaki ia dilakukan penagih dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2020 @ 4:53 PM