ISMAIL Ahmad menyampaikan sijil penghargaan kepada  Hayati.
ISMAIL Ahmad menyampaikan sijil penghargaan kepada Hayati.
myMetro

Putrajaya: Majlis Makan Malam sempena Sambutan Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-70 malam tadi berlangsung meriah dengan kehadiran 500 warga JPJ dan tetamu jemputan.

Program sama turut meraikan jasa pengamal media yang banyak membantu JPJ untuk menyalurkan berita mengenai agensi itu kepada masyarakat.

Pada majlis itu, Harian Metro dan beberapa rakan media lain turut menerima sijil penghargaan yang disempurnakan oleh Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad.

Wakil Harian Metro iaitu Ketua Biro Harian Metro Putrajaya Hayati Ibrahim menerima sijil penghargaan berkenaan.

Sementara itu, Ismail dalam ucapannya berkata, sambutan Hari JPJ ke-70 kali ini mencapai kemuncaknya pagi semalam menerusi penganjuran pelbagai aktiviti dan program di tempat letak kereta Istana Kehakiman, di sini.

Beliau berkata, biarpun ia dianjurkan dalam skala kecil, namun tetap meriah dengan sokongan rakan strategik JPJ, termasuk pihak swasta dan agensi kerajaan.

Dalam pada itu, Ismail berkata, pihaknya mempunyai visi untuk menggerakkan Skuad Muda 1JPJ di seluruh negara terutama bagi membantu JPJ mengurangkan jumlah kemalangan di negara ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2016 @ 9:24 AM