Kuala Kangsar: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedia melanjutkan tempoh penggantian lesen memandu, cukai jalan dan geran kenderaan yang rosak atau hilang secara percuma kepada mangsa banjir.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Ismail Ahmad berkata, pihaknya sebelum ini hanya memberi masa sehingga akhir bulan ini untuk berbuat demikian.

Beliau berkata, pihaknya akan mempertimbangkan untuk melanjutkan tempoh berbuat demikian jika diperlukan.

“Kita akan mempertimbangkan lanjutan tempoh bagi membolehkan mangsa banjir berbuat demikian jika perlu.

“Mereka yang berdepan masalah lesen memandu, cukai jalan dan geran kenderaan rosak boleh pergi ke mana-mana cawangan JPJ untuk penggantian. Malah, bagi dokumen yang hilang akibat dihanyutkan air bah atau musnah sama sekali pula pemiliknya perlu membuat laporan polis dan kemudian membawa laporan berkenaan ke mana-mana pejabat JPJ berhampiran kediaman mereka bagi tujuan sama,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan sukarelawan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di Kelantan dan Temerloh, Pahang.

“Skuad Muda 1JPJ adalah sukarelawan terdiri daripada golongan masyarakat khususnya terbabit dalam aktiviti pemotoran yang akan memperjuangkan isu keselamatan jalan raya serta membantu masyarakat lain yang dalam kesusahan seperti musibah banjir.

“Kita menghantar 120 tan barangan makanan sumbangan pihak JPJ, orang ramai dan NGO,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 7:28 AM