DARI kiri Azhar, Mohamad Zaki, Shahrul Shahrizal dan Ahmad  menerima sijil penghargaan.
DARI kiri Azhar, Mohamad Zaki, Shahrul Shahrizal dan Ahmad menerima sijil penghargaan.
HM Digital

Putrajaya: Empat anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang tular membantu enam individu termasuk empat kanak-kanak yang menaiki motosikal di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Isnin lalu diberikan sijil penghargaan jabatan berkenaan semalam.

Mereka adalah Ketua Pembantu Penguatkuasaan Shahrul Shahrizal Md Jawahir, 36; Penolong Pegawai Pemeriksa Kereta Motor Mohammad Zaki Che Hasan, 35; Pembantu Penguat Kuasa Ahmad Abdul Aziz Ngah, 24, dan Azhar Abd Rahman yang bertugas di Stesen Penguatkuasaan JPJ Karak.

Sijil berkenaan disampaikan Ketua Pengarah JPJ Datuk Shaharuddin Khalid sebagai tanda penghargaan di atas keprihatinan empat anggota berkenaan yang membantu meringankan beban orang awam.

Menurut Shaharuddin, tindakan anggota berkenaan dapat memberikan persepsi yang positif kepada masyarakat terhadap tugas dan tanggungjawab dipikul oleh setiap kakitangan penguat kuasa JPJ.

“Sifat keprihatinan dipamerkan pegawai dan anggota berkenaan wajar menjadi contoh kepada setiap kakitangan JPJ dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab,” katanya ketika berucap pada merasmikan majlis Perhimpunan Setia JPJ Bagi April 2018, di Dewan Serbaguna Kementerian Pengangkutan Malaysia, di sini, semalam.

Kelmarin Harian Metro melaporkan, hati empat anggota JPJ yang sedang membuat rondaan tersentuh selepas melihat kesusahan enam individu menaiki sebuah motosikal Kilometer 56 LPT2 berhampiran Plaza Tol Bentong, menghala Kuala Lumpur jam 11 pagi, Isnin lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:07 AM