myMetro

Ranau: Seorang lelaki, Richard Lasong, 47, maut ditimpa bas mini dipandunya dalam kemalangan di Kilometer 1.5, Jalan Ranau-Tambunan, berhampiran Kiaburi dekat sini, jam 1.40 pagi kelmarin.

Terdahulu, bas mini berkenaan terbalik akibat hilang kawalan menyebabkan Richard tercampak keluar. Mangsa yang berasal dari Kampung Matan di sini, mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketua Polis Daerah Ranau Deputi Superintendan Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan pulang ke rumah dari pusat hiburan di kawasan Pasir Putih.

“Tiba di lokasi, bas mini terbabas ke kanan jalan lalu terlanggar tebing bukit sebelum terbalik beberapa kali.

“Mangsa tercampak keluar sebelum dihempap bas berkenaan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurut Mohd Farhan Lee, mayat mangsa dibawa ke Hospital Ranau untuk bedah siasat.

“Sampel darah mangsa diambil untuk ujian alkohol dalam darah dan hasil siasatan awal, ketika kejadian, mangsa disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Mac 2016 @ 5:10 AM