Miri: “Semua menjerit ketakutan ketika bas mula terbabas, tetapi keadaan bertukar sunyi sebaik bas mula terbalik,” kata seorang penumpang menceritakan detik cemas ketika bas ekspres terbalik di Kilometer 23, Jalan Miri-Bintulu berdekatan Sarawak Oil Palm, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 9.15 pagi itu, pemandu bas dikenali sebagai Liew Yeh Shin, 52, maut, manakala tiga penumpang lain membabitkan dua lelaki dan seorang wanita cedera.

Penumpang yang enggan dikenali itu berkata, ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu bas terbabit gagal mengawal kenderaan sebelum bas berkenaan terbalik di bahu jalan.

Menurutnya, situasi itu membuatkan semua penumpang menjerit ketakutan, malah apabila bas itu mula terbalik, beberapa penumpang lain termasuk dirinya terpelanting di dalam bas berkenaan.

“Tidak lama kemudian suasana jadi sunyi secara tiba-tiba, saya sendiri tidak terkata apa-apa dan hanya mampu mengerang kesakitan.

“Ini kali pertama saya berdepan dengan situasi sebegini, ia memang pengalaman mengerikan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Farhan Sufyan Borhan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.15 pagi sebelum mengarahkan anggota dari Balai Bomba Dan Penyelamat Miri dan Lopeng ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang maut ditemui beberapa meter dari lokasi kejadian akibat tercampak keluar dari bas berkenaan.

“Semua penumpang berjaya keluar dan hanya tiga penumpang mengalami kecederaan serius, namun kebanyakan mereka (penumpang) masih trauma dengan kejadian itu.

“Semua yang cedera dihantar ke Hospital Miri untuk rawatan lanjut dan dilaporkan stabil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 10:50 AM