Oleh Junaidi Ladjana dan Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: “Mujur tiada sebarang perkara buruk berlaku kerana saya dan isteri akan bersanding ketika kenduri sambut menantu pada Ahad ini,” kata penumpang bas, Sobri Darub, 25, yang terselamat apabila bas dinaikinya bertembung dengan sebuah kereta lalu terjunam ke dalam gaung sedalam 60 meter di Jalan Kiau-Ranau, berhampiran Bundu Tuhan, petang kelmarin.

Dalam kejadian itu, Sobri hanya calar pada tubuh, manakala isterinya, Liana Mohd Abidin, 23, yang baru dinikahi pada 26 November lalu, turut mengalami kecederaan ringan.

“Ketika bas terhuyung-hayang dan terhumban ke dalam gaung, saya sempat memeluk erat isteri yang ketakutan sebelum keadaan dalam bas menjadi tidak terkawal.

“Sebaik tersedar, saya mendapati isteri tiada di sisi dan bergegas mencarinya,” katanya ditemui ketika mendapatkan rawatan di Hospital Tuaran.

Sobri berkata, dalam keadaan kelam-kabut, dia berjaya menemui isteri yang tercampak kira-kira tiga meter dari tempat duduk mereka.

“Saya lantas mendapatkannya dan berusaha keluar dari bas yang terbalik.

“Pada masa sama, saya melihat beberapa penumpang yang terselamat turut membantu mengeluarkan mangsa lain dari dalam bas,” katanya.

Terdahulu, Sobri berkata, kejadian itu menyebabkan sepasang baju persandingan dan mas kahwin berjumlah RM500 yang disimpan di dalam beg, hilang selepas kejadian itu.

“Saya tidak sempat mencari beg kami kerana terlalu panik, manakala keadaan menjadi kelam kabut apabila semua penumpang terselamat cuba keluar menyelamatkan diri.

“Saya berharap individu yang menemui beg ini supaya memulangkan segera kepada kami atau pihak berkuasa,” katanya.

Dalam kejadian ngeri kira-kira jam 3.40 petang itu, dua lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta maut, manakala kebanyakan penumpang bas turut mengalami kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Disember 2015 @ 6:06 AM