ORANG ramai memilih pakaian yang diedarkan secara percuma oleh sukarelawan.
ORANG ramai memilih pakaian yang diedarkan secara percuma oleh sukarelawan.
Oleh Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Alumni Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau (ANSARA) menganjurkan Pasar Percuma atau Free Market khusus bagi membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pelbagai barangan termasuk bahan mentah tanpa sebarang bayaran.

Ketua Cawangan ANSARA Amir Redza Mohd Tajudin berkata, pihaknya komited membantu golongan ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin terutama di kawasan bandar yang berdepan kesulitan kesan peningkatan kos sara hidup.

“ANSARA ditubuhkan untuk menggerakkan program kemasyarakatan dengan turun padang menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada golongan memerlukan selain mengadakan pelbagai aktiviti untuk mereka.

“Pasar Percuma ini antara inisiatif dilaksanakan dengan kita mengumpul pelbagai barangan sebelum diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya ketika ditemui di Masjid Amru Ibni Al As, Bandar Baru Sentul di sini, lokasi pertama program itu berikutan majoriti penduduknya golongan pertengahan selain dikelilingi Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Beliau berkata, program itu mendapat sambutan menggalakkan apabila kira-kira 800 pengunjung hadir manakala hampir 50 sukarelawan menyumbang tenaga membantu melancarkan pasar percuma itu.

“ANSARA mengguna pakai konsep pasar iaitu orang ramai seolah-olah datang seperti mahu membeli dengan memilih barangan diinginkan tetapi tidak perlu membayar kerana cukup saja mengucapkan terima kasih,” katanya.

Menurutnya, program itu akan diperluaskan ke kawasan yang ramai penduduknya golongan kurang berkemampuan yang memerlukan bantuan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu lain.

Sementara itu, Pengerusi Masjid Amru Ibni Al As Datuk Abdul Razak Hussain berkata, walaupun program dijalankan di perkarangan masjid tetapi turut menarik minat pelbagai bangsa untuk hadir memeriahkannya.

“Sambutan diterima menggalakkan apabila semua lapisan masyarakat hadir untuk memilih barangan diberikan secara percuma, malah mereka boleh membuat pemeriksaan gigi percuma.

“Barangan disediakan penganjur juga berkeadaan baik selain terdapat individu dan NGO yang turut serta mengagihkan barangan kepada pengunjung secara percuma,” katanya, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Mac 2016 @ 6:31 AM