NGO yang menyertai Pertandingan Boling Amal Empire Project 2017, semalam.
NGO yang menyertai Pertandingan Boling Amal Empire Project 2017, semalam.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpu: Orang kurang berkemampuan terus mendapat perhatian daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini dengan mengadakan pelbagai aktiviti berbentuk kesukanan bagi mengumpul dana untuk membela nasib golongan berkenaan.

Persatuan Empayar Kebajikan Malaysia (PEKM) menerusi inisiatif terbarunya menganjurkan Pertandingan Boling Amal Empire Project 2017, semalam.

Pengurus PEKM, Mohd Ashraff Khan Najib berkata, berkata, 18 NGO menyertai program berkenaan membolehkan dana RM5,400 dikumpulkan dengan 50 peratus daripada jumlah itu diberikan kepada NGO Humanity dan Pit Stop Cafe.

Beliau berkata, dua NGO ini antara paling aktif melakukan kerja kebajikan membantu bukan saja gelandangan, malah miskin bandar dan ibu tunggal.

“Pertubuhan ini mempunyai konsep tersendiri membantu golongan terbabit seperti Humanity menerusi projek Gerobok Rezeki manakala Pit Stop Cafe pula menyediakan makan malam yang dimasak bekas gelandangan di restoran miliknya, sebelum diagihkan kepada gelandangan di sekitar Chow Kit.

“Setakat ini ada 21 Gerobok Rezeki di masjid sekitar Lembah Klang dan beberapa masjid terpilih di Johor Bahru yang dikendalikan Humanity,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, Pit Stop Cafe pula tidak hanya memberikan makanan percuma kepada gelandangan dan miskin bandar malah menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan dengan menjadi tukang masak di cafe berkenaan.

“Ini cara PEKM menyokong usaha murni dilakukan NGO terbabit dan dana disalurkan bagi membolehkan lebih ramai golongan terbabit mendapatkan manfaatnya.

“Projek Gerobok Rezeki mendapat sambutan menggalakkan namun ada kalanya Humanity berhadapan kesukaran untuk melengkapkan gerobok berkenaan kerana kekurangan dana,” katanya.

Mohd Ashraff berkata, dana tambahan itu dapat membantu Humanity menyediakan keperluan barangan dapur secara berterusan di masjid terbabit dan sekali gus menyelesaikan masalah kekurangan dana yang dihadapi sebelum ini.

Katanya, program seperti itu akan diteruskan pada masa hadapan bagi membantu NGO lain mengumpul dana dan membela lebih ramai golongan memerlukan.

Selain itu katanya, program berkenaan juga menjadi platform dalam mengeratkan hubungan di antara NGO lain dan bertukar-tukar idea untuk membantu mengeluarkan gelandangan daripada kepompong berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Februari 2017 @ 6:31 AM