Orang ramai memilih pakaian pada Pasar Percuma di pekarangan Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Orang ramai memilih pakaian pada Pasar Percuma di pekarangan Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong, hari ini. FOTO Hamzah Osman
Hamzah Osman


Langkawi: Sebanyak satu metrik tan pakaian habis diedarkan kepada orang ramai dalam tempoh dua jam pada Pasar Percuma di pekarangan Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong, di sini, hari ini.

Program bertemakan 'Datang Tengok atau Ambil Apa Saja' mulai jam 10 pagi itu dianjurkan bersama oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Aspirasi Prihatin Langkawi (APL), Kindness Langkawi (KL) dan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Langkawi.

Pengerusi APL Mohd Hafizan Mazri, berkata, program julung kali itu bertujuan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pelbagai jenis pakaian dan kasut tanpa bayaran.

“Pelbagai pakaian termasuk baju kurung, kemeja, baju-T, baju kanak-kanak, kasut dan aksesori telefon bimbit hasil sedekah orang ramai diedarkan. Kami hanya menganjurkan Pasar Percuma ini untuk memudahkan urusan pengagihan kepada yang memerlukan.

"Kami menerajui program ini dengan hasrat membantu golongan ibu tunggal, anak yatim dan fakir miskin supaya mereka tidak merasakan tersisih," katanya, sebentar tadi.

Turut hadir, Pengerusi KL, Siti Khadijah Abdul Aziz, Imam Masjid Al-Ehsan Kampung Temonyong, Mohd Shazuri Saad dan wakil PERKEP Langkawi, Hasmah Hassan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 January 2017 @ 3:37 PM