Efendi Abd Malek (kiri) menyampaikan barangan keperluan kepada penerima di Senawang hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Efendi Abd Malek (kiri) menyampaikan barangan keperluan kepada penerima di Senawang hari ini. FOTO MOHD AMIN JALIL
Mohd Amin Jalil


Seremban: "Niat kami hanya untuk membantu golongan kurang berkemampuan dan sama-sama berkongsi rezeki," kata bekas pemain bola sepak Negeri Sembilan yang juga Pengerusi Persatuan Sukarelawan Sosial Al-Khair (PSSAK), Efendi Abd Malek.

Efendi, 43, yang juga jurulatih di Akademi Bola Sepak Mokhtar Dahari (AMD) Kuantan berkata, dia cuba bergerak aktif dalam persatuan bukan kerajaan (NGO) dalam usaha mendekati masyarakat dan membantu golongan kurang berkemampuan.

"Walaupun masih berkhidmat sebagai jurulatih di AMD, namun pembabitan dalam NGO dapat memberi peluang mendekati masyarakat dengan lebih dekat di pelbagai peringkat.

"Memang bukan mudah untuk bergerak aktif dalam aktiviti sukarela kerana perlu membahagikan masa antara tugas hakiki dengan kerja-kerja sampingan, tetapi dengan sokongan ahli keluarga ia boleh dilakukan dengan baik.

"Hasrat saya hanyalah untuk menggunakan masa lapang dengan sebaik mungkin dan membantu masyarakat atau golongan yang kurang bernasib baik," katanya ketika ditemui selepas program Projek Amal Raya PSSAK di Taman Matahari Height Senawang, di sini, hari ini.

Dalam program itu, sebanyak 26 keluarga asnaf dari kariah masjid Taman Senawang Jaya menerima bantuan barangan keperluan harian dan persiapan Aidilfitri.

Sementara itu, penyelaras program, Khairolina Kamat berkata, pihaknya mendapat kerjasama daripada beberapa individu yang turut menyumbang dari segi kewangan dan barangan keperluan harian selain Baitulmal Seremban dalam mengenal pasti penerima yang layak.

"Alhamdullillah, program ini mencapai matlamatnya dan kami berharap bantuan ini serba sedikit dapat meringankan beban mereka dalam membuat persiapan melalui Ramadan serta menyambut Aidifitri nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 Mei 2021 @ 12:24 PM