Shamran (tengah) mengagihkan sumbangan daripada Tabung Bencana NSTP dan Media Prima kepada  mangsa   banjir dari Kampung Endap.
Shamran (tengah) mengagihkan sumbangan daripada Tabung Bencana NSTP dan Media Prima kepada mangsa banjir dari Kampung Endap.

Kota Samarahan: Media Prima Berhad (MPB) menyumbangkan beg keperluan asas kepada 128 mangsa banjir Kampung Endap di pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Endap di sini, semalam.

Beg keperluan asas itu hasil sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima dengan kerjasama Program Jiwa Murni, Kementerian Pertahanan.

Penyerahan sumbangan disampaikan wakil MPB, Ketua Biro Harian Metro Sarawak, Shamran Sarahan kepada Pegawai Daerah Kota Samarahan Aini Wahab.

Penyerahan sumbangan itu turut mendapat kerjasama Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) negeri sebagai usaha MPB menyokong misi bantuan bencana banjir bersama agensi itu di negeri ini.

Pengarah JPAM Sarawak, Mokhtar Samat berkata, pemberian sumbangan itu penting bagi meringankan beban penduduk yang menghadapi kesulitan memperoleh keperluan harian mereka.

“Di pusat pemindahan, mereka tidak mempunyai kelengkapan asas mencukupi, lebih-lebih lagi dengan jumlah mangsa banjir yang ramai ditempatkan di pusat pemindahan ini.

“Dengan bantuan ini, ia dapat membantu mengurangkan beban mangsa banjir menyediakan keperluan asas keluarga mereka,” katanya ketika di temui di SK Endap, di sini, semalam.

Mokhtar berkata, pihaknya mengalu-alukan kerjasama dengan MPB menyerahkan bantuan dan sedia bekerjasama pada masa akan datang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Februari 2016 @ 8:30 AM