SULTAN  Ibrahim
SULTAN Ibrahim
Oleh Mohd Sabran Md Sani

Johor Bahru : Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar terus komited dalam pembangunan sukan di negeri ini apabila berkenan mengurniakan dana untuk pembiayaan stadium baru serta menyerahkan 28 hektar tanah sumbangan kerajaan negeri untuk dijadikan Bandar Sukan JDT.

Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) Datuk Ismail Karim berkata, dua sumbangan terbaru itu menjadi berita gembira untuk dikongsikan kepada penyokong Johor Darul Ta’zim (Johor DT).

“Hari ini, ada berita gembira untuk dikongsikan kepada penyokong JDT. Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Sultan Johor memberi perkenan mengurniakan dana untuk pembiayaan stadium baru.

“Selain itu, 70 ekar tanah (28 hektar) pemberian kerajaan negeri untuk dijadikan Bandar Sukan JDT,” katanya dalam kenyataan menerusi laman rasmi Johor Southern Tigers, di sini, semalam.

Katanya, pembinaan Bandar Sukan JDT itu memusatkan semua aktiviti sukan di bawah nama JDT.

“Ia menjadi pusat sukan dan akan ada tempat untuk semua jenis sukan di bawah nama JDT dan juga kemudahan lain seperti hotel JDT, apartment JDT dan pusat beli-belah JDT,” katanya.

Ismail berkata, semua perkara dimaksudkan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas difahami ketika ini.

“Dan kini, fahamlah saya apa dimaksudkan DYAM Tunku Mahkota Johor berkenaan JDT Sudah 50 Langkah Kehadapan.

“Meskipun ramai mengkritik dan mempersendakan apa cuba disampaikan baginda, misi dan visi diilhamkannya kini menunjukkan hasil dengan pelbagai kejayaan diraih serta prasarana dan fasiliti dibangunkan untuk JDT,” katanya.

Katanya, sebagaimana dua mutiara kata yang sering diberikan baginda kepada JDT iaitu ‘Kita bukan sekadar bermimpi dan merancang, tetapi kita melaksanakannya’.

“Kedua ialah ‘Sesungguhnya Allah SWT sentiasa memberikan segala terbaik untuk hambanya yang mempunyai hati yang bersih’. Allah Peliharakan Sultan dan negeri Johor Darul Ta’zim,” katanya.

Pada masa sama, Ismail turut bersyukur di atas kejayaan dicapai kelab bola sepak Johor DT dalam masa tiga tahun ini sehingga mampu menjulang empat piala dalam tempoh berkenaan.

“Masih diingat lagi pada 4 September 2012, pemuda turun ke padang ketika perlawanan antara Johor FA dan Johor FC.

“Di hadapan penyokong yang hadir, janji dilontarkan mengenai misi dan visinya untuk pembangunan bola sepak negeri Johor.

“Pada masa itu, misi dan visi terbabit hampir tampak agak sukar, namun lihatlah pencapaian JDT ketika ini yang juga pasukan pertama menjulang Piala AFC serta turut melakar sejarah selaku pasukan Asia Tenggara pertama melakukan pencapaian terbabit,” katanya.

Katanya, jelas kini janji Tunku Mahkota Johor kepada penyokong Harimau Selatan dikotakan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 January 2016 @ 5:11 AM