Zulfaizan Mansor


PEMILIK Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (gambar) diminta kembali memberi fokus sepenuhnya kepada projek skuad Harimau Selatan.

Perkara itu disuarakan Presiden JDT, Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim yang menganggap Tunku Ismail berhak menikmati segala kejayaan yang dicapai kelab berkenaan.

“Saya menyeru kepada Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail cepat kembali kepada kelab JDT dan beri fokus 100 peratus kepada projek JDT.

“Sebagai seseorang yang bertanggungjawab atas kejayaan JDT di dalam dan di luar padang selama ini, baginda (beliau) patut berada di sini supaya baginda boleh menikmati semua perkara yang sudah dicapai,” kata Tunku Tun Aminah dalam satu kenyataan di Facebook, JOHOR Southern Tigers, malam tadi.

Kenyataan daripada Tunku Tun Aminah itu dilihat mengundang sedikit persoalan mengenai tugas besar yang digalas TMJ ketika ini iaitu sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Bagaimanapun, TMJ pada sidang media di Johor Bahru pada Khamis lalu menegaskan beliau tidak akan melepaskan jawatan di kerusi nombor satu badan induk bola sepak negara itu walaupun terdapat desakan daripada beberapa pihak tertentu.

Menerusi kenyataan sama, Tunku Tun Aminah turut mengesahkan 10 bilik ruang korporat di Stadium Sultan Ibrahim Larkin, yang masih dalam pembinaan sudah habis ditempah.

Ia pastinya satu kejayaan berganda buat projek kelab berkenaan kerana setiap bilik itu bernilai RM500,000 bagi semusim.

“Terima kasih saya ucapkan kepada yang sentiasa menyokong dan percaya kepada projek Kelab Bolasepak JDT,” tambah Tunku Tun Aminah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 November 2017 @ 7:56 PM