FALCAO (kiri) dan Cahill dikaitkan dengan JDT. FOTO REUTERS
FALCAO (kiri) dan Cahill dikaitkan dengan JDT. FOTO REUTERS
Syazwan Msar dan Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Adakah pemain legenda Australia, Timothy Filiga Cahill atau lebih dikenali sebagai Tim Cahill berada dalam projek baharu Johor Darul Ta'zim (JDT)?

Khabar angin itu bertiup kencang selepas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memberi respons 'see you soon Tim' terhadap komen yang ditinggalkan bekas pemain kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Everton itu di hantaran beliau.

Susulan komen itu, ramai penyokong JDT mulai membuat spekulasi komen Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu berkait dengan projek yang mahu dilakukannya selepas ini.

Bagaimanapun ketika ini, belum ada pengumuman rasmi dan berkemungkinan Cahill hanyalah memberi komen sebagai seorang rakan kepada Tunku Ismail.

Sebelum ini, Cahill pernah memuat naik video sedang menyaksikan perlawanan Liga Juara-Juara Asia di antara pasukan JDT menentang Kawasaki di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru.

Selain itu, penyerang Colombia, Radamel Falcao dikatakan sudah hampir sah menyertai keluarga JDT selepas Tunku Ismail membuat ciapan di Twitter menyatakan akan berjumpa dengan pemain itu sambil beliau sambil turut 'tag' nama Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.

"Jumpa kamu dalam masa terdekat," kata Tunku Ismail menerusi ciapan Twitternya, sebentar tadi.

Sebelum ini, Arena Metro melaporkan Falcao bersedia untuk menyertai juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Kontrak Falcao bersama kelab Rayo Vallecano bakal berakhir pada Jun ini dan menurut laporan media itu, dia bersedia untuk mencuba cabaran baharu bersama JDT.

Media Sepanyol, Marca mendakwa Falcao sedang menilai tawaran bagi menandatangani kontrak bersama JDT.

Seandainya bekas penyerang Manchester United dan Chelsea itu sah menandatangani kontrak bersama JDT, dia akan menjadi pemain berprofil tinggi kedua yang menyertai Harimau Selatan selepas Pablo Aimar pada 2013.

Falcao mula beraksi bersama Rayo Vallecano sejak musim 2021 selain pernah menyarung jersi kelab Turki, Galatasaray selama dua musim.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 7:36 PM