CHARYL Chappuis antara pemain Asia.
CHARYL Chappuis antara pemain Asia.
Rizar Mohd Noor


SELEPAS mengesahkan Luciano Figueroa dan Jorge Pereyra Diaz menyertai semula Johor Darul Ta’zim (JDT) musim depan, skuad juara Liga Super empat kali berturut-turut dan Piala Malaysia kini mengintai seorang pemain untuk mengisi kuota Asia.

Perkembangan itu dinyatakan Pengarah Sukan JDT, Martin Prest yang merancang untuk membawa masuk seorang pemain dari Asia dan pemain naturalisasi bagi memperkuatkan skuad Harimau Selatan mengharungi bukan saja Liga Malaysia malah saingan kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL), Januari depan.

“Kami merancang untuk memperkuatkan pasukan utama bagi mengharungi musim baharu dan akan membawa masuk dua pemain luar negara yang akan mengisi kuota Asia.

“Seorang lagi pemain naturalisasi dan kedua-dua pemain itu akan menandatangani kontrak untuk menyertai JDT. Apa pun kami akan mengumumkan kedua-dua pemain itu kepada penyokong JDT,” katanya.

Kelmarin, Prest mengesahkan khidmat Gabriel Guerra dan Gonzalo Cabrera tidak disambung musim depan dan berterima kasih kepada kedua-dua pemain import dari Argentina yang memberi sumbangan untuk kejayaan skuad Harimau Selatan.

Skuad itu tidak berdepan masalah melengkapkan kuota ASEAN untuk kempen musim depan selepas Hariss Harun yang dipinjamkan ke kelab Liga Singapura, Home United selama semusim akan kembali bersama JDT.

Selain Hariss, benteng pertahanan JDT akan kembali mendapatkan semula khidmat Marcos Antonio yang tampak semakin pulih daripada kecederaan ketika beraksi pada perlawanan menentang Perak dalam saingan liga.

Malah kelab milik Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu sudah mengikat Adam Nor Azlin dari Selangor dan Syamer Kutty Abba dari Pulau Pinang bagi mengimbangi antara pemain berpengalaman dan muda skuad juara Piala AFC 2015 itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 5:49 PM