SUKARELAWAN Malaysia dibantu petugas antarabangsa menyediakan makanan di kem Moria.
SUKARELAWAN Malaysia dibantu petugas antarabangsa menyediakan makanan di kem Moria.

Kalau bukan kita, siapa lagi dan kalau bukan sekarang, bila lagi. Ia menjadi pegangan kami untuk bertindak pantas menyelamatkan pelarian menggunakan kudrat yang ada meskipun dalam kapasiti terbatas.

Mustahil kami berdua mampu melayan pelarian di sini tanpa kerjasama sukarelawan antarabangsa yang kebanyakannya bergerak sendirian sama seperti kami.

Kami sebenarnya teruja dan bangga melihat sukarelawan antarabangsa dari pelbagai negara seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan negara Kesatuan Eropah berhempas pulas membantu pelarian.

Ada yang bertugas memeriksa kesihatan, mengajar kanak-kanak, menjaga keselamatan sehinggalah memasak seperti yang kami lakukan di Kem Moria.

Apa yang mengagumkan, mereka juga seperti kami tidak mempunyai wang banyak, tetapi sanggup datang membantu menggunakan kapasiti dan kudrat yang ada.

Bagaikan tiada kata untuk menzahirkan ucapan terima kasih kepada mereka, kami hanya mampu memasak sup sayuran kepada sukarelawan antarabangsa dan apa yang membuatkan kami gembira, mereka berselera menikmati juadah ala kadar itu.

Semangat dan usaha gigih mereka memberi motivasi kepada kami untuk terus berada di Greece membantu pelarian dan mungkin berpindah ke kem lain selepas ini seperti di The Wild Lemon Tea dan Kara Tepe.

Bayangkan dalam keadaan hujan dan salji, ada sebilangan sukarelawan sanggup tidur bersama pelarian di khemah sementara yang uzur dan boleh terbalik apabila hujan lebat.

Bukan saja daif dari segi pakaian dan makanan, malah tempat perlindungan pun sebenarnya masih jauh daripada selesa dan seharusnya rakyat Malaysia bersyukur hidup aman damai di tanah air tanpa kekacauan serta bencana.

Keadaan di sini menjadi bertambah kronik apabila jumlah pelarian semakin meningkat saban hari dan tidak mustahil jumlahnya terus bertambah mengikut keadaan cuaca.

Mengikut data dikeluarkan Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), seramai 828 pelarian tiba di Pulau Lesbos kelmarin (19 Januari), 37 (18 Januari), 17 (17 Januari), 727 (16 Januari) dan 2,077 (15 Januari).

Kesesakan di khemah pelarian bukan saja menyebabkan mereka tidak selesa untuk berehat, malah menimbulkan risiko lain terutama penyakit berjangkit seperti cirit-birit, sakit kulit dan taun.

Keadaan cuaca tidak menentu juga membataskan aktiviti di khemah pelarian apabila mereka terpaksa berlindung di khemah tanpa berbuat apa-apa, sedangkan jika cuaca baik kanak-kanak dapat belajar sambil bermain dan kaum wanita pula membantu sukarelawan menyediakan makanan.

Bagaikan mentimun dengan durian. Mungkin itu dapat saya simpulkan buat sekumpulan lima pelarian lelaki dari Syria yang baru tiba di Pulau Lesbos.

Mereka memberitahu keadaan di Syria memang teruk dan jika tidak keluar dari negara asal, mereka akan dipaksa menjadi tentera yang berisiko mati jika tidak menurut perintah. Jadi jalan terbaik adalah mengurangkan risiko yang ada dengan berhijrah membina kehidupan baru di negara ketiga.

Simpati dengan nasib menimpa mereka yang sehelai sepinggang sebaik tiba di sini, kami menghulurkan wang EUR50 (RM240) kepada setiap seorang sebagai tambang feri ke Athens.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 January 2016 @ 7:04 AM