AZURA dan Zaleha ketika membantu aktiviti di kem pelarian Lesbos.
AZURA dan Zaleha ketika membantu aktiviti di kem pelarian Lesbos.

Pulau Lesbos (Greece): “Hari ini (semalam) kami bercuti, tetapi tetap membantu sukarelawan lain di Khemah The Wild Lemon Tea di sini. Kami menolong sediakan minum dan makanan kepada sukarelawan dan pelarian.

Seawal jam 7 pagi kami membantu membancuh teh menggunakan tiga periuk besar serta menyediakan buah epal untuk diberi kepada pelarian dan sukarelawan.

Untuk semalam saja, tidak kurang 1,000 uncang teh yang kami guna untuk buat air teh ‘ala Magribi’ selain 30 hingga 40 kilogram gula. Teh ini memang sedia ada di dalam stor di khemah daripada sumbangan orang.

Bagi menambah perisanya kami campur dengan kulit kayu manis dan daun pudina. Sebelum ini kami juga campur halian dalam teh yang dibancuh.

Air teh ini sememangnya ditunggu-tunggu setiap pelarian dan sukarelawan di sini, bagi memanaskan badan dalam keadaan suhu sejuk yang terasa sehingga ke tulang.

Bagi memastikan air teh sentiasa tersedia periuk diletak di atas api dan apabila habis ia diganti dengan periuk lain.

Untuk makluman pembaca, kami tidak memasak makanan untuk pelarian, sebaliknya hanya untuk petugas sukarelawan seramai antara 50 hingga 70 orang setiap hari.

Untuk pelarian, kami agihkan buah-buahan seperti epal, pisang dan biskut. Mereka tidak dibenarkan masuk ke dalam khemah dan lalu di hadapan khemah untuk mengambil buah-buahan dan minuman yang disediakan.

Bagi pelarian kanak-kanak, kami sediakan minuman jus dalam kotak, dan jika ibu mereka mahu menyediakan susu, kita beri air panas.

Disebabkan ribut diramal berlaku, jumlah kehadiran pelarian asing tidak begitu ramai, namun kami dan sukarelawan sentiasa bersedia untuk memberikan bantuan.

Disebabkan kami tidak bekerja, tugas memasak dikendalikan oleh Stevie dari Switzerland dan seorang tukang masak wanita dari England. Untuk makan tengah hari, kami membuat salad yang dicampur ubi kentang, lobak merah, pelbagai jenis kobis.

Selain itu, jika ada buah-buah yang kurang segar terutama oren, kami gunakan dalam masakan atau salad. Jadi tiada pembaziran dan semua bahan makanan digunakan secara optimum.

Bertugas dalam cuaca sejuk, memang mencabar. Walaupun jarak pasar....hanya lima minit perjalanan, saya terpaksa memandu kereta bagi mengelak cuaca sejuk selain untuk mudah mengangkut barangan yang dibeli.

Secara keseluruhan, khemah The Wild Lemon Tea yang terletak dalam Kem Moria ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Sarapan disediakan pada jam 8 pagi sementara makan tengah hari dan malam pula ditetapkan jam 1 tengah hari dan 8 malam.

Untuk makluman juga kami akan bertemu sembilan sukarelawan dari Malaysia. Tidak banyak maklumat yang kami tahu mengenai mereka, namun hati gembira dan rasa amat teruja untuk bertemu rakan senegara.

Insya-Allah, selepas berjumpa dengan sembilan sukarelawan Malaysia yang bakal tiba itu, kami akan berkongsi berita dan gambar mereka untuk tatapan pembaca ruangan ini”

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 January 2016 @ 5:16 AM