Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Anggota atau pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) ‘boroi’ tidak boleh dinaikkan pangkat atau disahkan jawatan merangkumi semua warga PDRM termasuk jawatan Ketua Polis Negara.

Perkara itu dinyatakan sendiri Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang mengakui arahan itu terpakai kepada semua kakitangan PDRM termasuk dirinya sendiri.

Malah beliau menyokong penuh tindakan mewajibkan anggota polis gemuk menjalani program latihan menurunkan berat badan atau tidak akan dinaikkan pangkat.

Katanya, pendekatan itu sebenarnya bertujuan menggalakkan semua warga PDRM menjalani gaya hidup sihat demi kebaikan mereka serta ahli keluarga.

“Tindakan ini bukan hanya membabitkan Malaysia. Pasukan polis negara ASEAN lain turut menetapkan syarat kecergasan untuk naik pangkat.

“Mungkin orang boleh cakap tak terpakai pada saya sebab saya dah KPN. Tetapi sebenarnya terpakai kepada semua termasuk kepemimpinan tertinggi PDRM,” katanya pada sidang media ‎selepas Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Eksekutif dan Pengarah Perkhidmatan Polis Sekretariat ASEANAPOL di Hotel Hilton, semalam.

Khamis lalu, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zulkifli Abdullah, mengumumkan PDRM bakal mewajibkan anggota lulus ujian Indeks Jisim Badan (BMI) serta beberapa ujian kesihatan sebagai prasyarat kenaikan pangkat dan pengesahan jawatan.

Ini sebagai dorongan besar kepada hampir 130,000 pegawai, anggota dan kakitangan awam PDRM menjaga kesihatan diri di samping mengamalkan gaya hidup sihat.

Khalid berkata, pendekatan juga diambil memandangkan ramai anggota polis dilaporkan berpenyakit dan meninggal dunia akibat penyakit kronik ketika masih dalam tugas.

“Itu pandangan mereka, kerana terlebih kerja, jadi gemuk. Saya tak pasti. Saya bukan pakar untuk katakan orang banyak kerja jadi gemuk.

“Apa kami cuba buat, pastikan kesihatan warga PDRM. Kami dapati ramai pegawai polis dan anggota yang didapati kurang sihat. Malah, jumlah kematian pegawai berkhidmat disebabkan kencing manis dan darah tinggi adalah tinggi,” katanya.

Menurutnya, menyedari hakikat itu sebagai pucuk pimpinan PDRM, mereka mencari langkah menjaga kebaikan ahli warga PDRM.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 January 2016 @ 8:06 AM