PESERTA Miss Tourism World 2015 bermesra dengan kanak-kanak di pejabat NCSM, semalam.
PESERTA Miss Tourism World 2015 bermesra dengan kanak-kanak di pejabat NCSM, semalam.

Kuala Lumpur: Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) bakal mewujudkan klinik satelit di kawasan pantai timur dalam usaha memberi ujian pengesanan awal kanser dalam kalangan penduduk di Kelantan dan Terengganu.

Timbalan Presiden NCSM, Clare Ratnasingham berkata, buat masa ini, kedua-dua negeri berkenaan tiada sebarang kemudahan dan perkhidmatan bagi menjalankan ujian pengesanan awal.

Beliau berkata, pihaknya menjangkakan perancangan itu bakal dilaksanakan dalam tempoh lima tahun lagi.

Menurutnya, beliau sangat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi menyalurkan sumbangan bagi penubuhan klinik berkenaan kerana ia mungkin dapat mempercepatkan proses pelaksanaan rancangan itu.

Katanya, selain kurangnya menjalani ujian pengesanan awal kanser, masyarakat di kedua-dua negeri berkenaan juga kurang diberi pendedahan dan kesedaran mengenai penyakit berkenaan.

“Mereka perlu pergi ke Kuantan, Pahang atau mengikuti program pemeriksaan kesihatan yang dibuat NCSM atau mana-mana pihak untuk mendapatkan maklumat mengenai kanser.

“Sebab itu, kita cuba bantu mereka dengan menyediakan klinik satelit ini bagi menyediakan kemudahan untuk melakukan pemeriksaan, khidmat mamogram untuk kanser payudara dan servik dan pelbagai kemudahan lain bagi mengesan kanser,” katanya ketika ditemui selepas sesi lawatan peserta Miss Tourism World 2015 di pejabat NCSM di sini, semalam.

Katanya, selepas menjalani pemeriksaan di klinik satelit, keputusan ujian imbasan dan maklumat perubatan pesakit akan dihantar terus kepada mereka di Kuala Lumpur untuk tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 January 2016 @ 8:21 AM