WARGA emas yang mengalami masalah penglihatan membuat pemeriksaan mamogram percuma anjuran Etiqa.
WARGA emas yang mengalami masalah penglihatan membuat pemeriksaan mamogram percuma anjuran Etiqa.
Mohd Hasbi Sidek


Kuala Lumpur: Menyedari golongan wanita yang mempunyai masalah penglihatan sukar untuk mendapatkan rawatan kesihatan terutama membabitkan kanser, Etiqa Insurans dan Takaful (Etiqa) mengadakan Program Pemeriksaan Mamogram Percuma, kelmarin.

Program yang diadakan di Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), Jalan Raja Muda Abdul Aziz, di sini, itu bersempena dengan Pink October, yang mendapat pengiktirafan antarabangsa sebagai bulan kesedaran kanser payudara.

Pegawai Komunikasi Etiqa Azita Azlan berkata, program itu memberi peluang kepada wanita kurang berkemampuan berusia 40 tahun ke atas untuk menjalani ujian saringan kanser payudara secara percuma.

“Etiqa membawa warga wanita OKU ini dari Persatuan Orang Buta Malaysia (MAB), di Brickfields ke NCSM untuk melakukan ujian mamogram.

“Wanita OKU penglihatan ini adalah salah satu komuniti yang terpilih untuk menerima manfaat daripada program berkenaan,” katanya.

Pengurus Atasan Kanan Projek NCSM Viji Nair berkata, jika kanser payudara dikesan lebih awal, pada tahap satu atau tahap dua, peluang untuk hidup adalah hampir 100 peratus.

“Inilah sebabnya mengapa mamogram sangat penting. Bersama Etiqa, kami ingin mendapatkan seberapa banyak wanita yang kurang berkemampuan, dengan memberi mereka peluang untuk mendapatkan pemeriksaan payudara secara percuma,” katanya.

Sementara itu, Radzirah Mat Yasin, 66, yang mengalami masalah penglihatan sejak berusia dua tahun akibat demam panas berkata, dia bersyukur kerana diberi kesempatan untuk melakukan ujian berkenaan memandangkan kekurangan yang dihadapi menyukarkan dia untuk mendapatkan pemeriksaan kesihatan.

“Suami sudah meninggal dunia sejak 17 tahun lalu dan terpaksa bekerja secara separuh masa di MAB dan diberi elaun RM350 dari kerajaan untuk menampung kehidupan.

“Saya memahami kepentingan menjaga kesihatan, tetapi saya tidak mampu untuk pergi ke ujian saringan kanser,” katanya.

Data terkini daripada National Eye Survey menyatakan bahawa wanita lebih berusia mempunyai daya penglihatan yang lebih rendah dibandingkan lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:32 AM