Balqis Jazimah Zahari


Ipoh: Klinik Bergerak Saringan Kesihatan Nasional, 'Purple Truck' akan memberikan perkhidmatan saringan kanser percuma untuk warga luar bandar dan pedalaman di seluruh negara.

Hari ini Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berkenan berangkat merasmikan kemudahan hasil inisiatif MCIS Life dan National Cancer Society Malaysia (NCSM) di Astaka Padang Ipoh di sini.

Klinik kesihatan bergerak itu adalah trak berketinggian lima meter diubahsuai sebagai platform untuk menganjurkan bengkel kesedaran dan kesihatan tentang penyakit kanser dan penyakit tidak berjangkit di kawasan pedalaman dan luar bandar.

Presiden NCSM, Datuk Dr Saunthari Somasundaram berkata, trak ikonik itu akan menjadi titik tolak untuk lebih ramai rakyat Malaysia cakna tentang penyakit kanser dan menerima saringan untuk pengesanan awal.

"Kanser adalah penyakit yang amat digeruni, namun kesedaran dan pengetahuan orang awam tentang simptom dan tanda-tanda kanser masih lemah. Kemudahan rawatan kanser lebih tertumpu di bandar-bandar besar," katanya ketika berucap pada majlis perasmian berkenaan di sini hari ini.

Hadir mengiringi Tuanku Zara adalah Yang Dipertua Badan Amal dan Usaha Isteri Negeri Perak (BAIDURI), Datin Seri Aezer Zubin; Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dan Ketua Pengedaran dan Pemasaran MCIS Life, Ragunath Murthy.

TUANKU Zara Salim (tengah) berkenan mendatangani plak perasmian pada majlis pelancaran "Purple Truck" NCSM & MCIS Life Klinik Bergerak Kanser Malaysia Jelajah Jejak Kanser  Malaysia di Ipoh. FOTO L Manimaran
TUANKU Zara Salim (tengah) berkenan mendatangani plak perasmian pada majlis pelancaran "Purple Truck" NCSM & MCIS Life Klinik Bergerak Kanser Malaysia Jelajah Jejak Kanser Malaysia di Ipoh. FOTO L Manimaran

Program komuniti masyarakat Purple Truck dikelolakan oleh pasukan bergerak NCSM yang terdiri daripada kakitangan perubatan terlatih, penasihat kesihatan berpengalaman dan sukarelawan penjagaan kesihatan.

Antara program yang akan dijalankan adalah ceramah dan bengkel interaktif yang berteraskan gaya hidup sihat, kesedaran kanser dan penyakit tidak berjangkit, penilaian kesihatan am dan saringan kepada tiga jenis kanser.

Inisiatif Purple Truck akan memberi tumpuan kepada tiga jenis kanser utama di Malaysia iaitu kanser payudara, kanser serviks dan kanser kolorektal.

Ujian untuk kanser kolorektal dan saringan awal kanser payudara akan dijalankan terus di lokasi manakala untuk kanser serviks, sampel akan diambil dan keputusannya akan dimaklumkan kepada pesakit melalui telefon atau email.

Purple Truck akan memulakan perjalanan bersama pasukan perubatan terlatih dan sukarelawan dari NCSM ke lokasi di seluruh semenanjung Malaysia.

Peta dan jadual perjalanan 'Purple Truck' akan dikongsi di laman sesawang NCSM (www.cancer.org.my) dan platform media sosial Facebook (@nationalcancersocietymalaysia) dan Instagram (@nationalcancersocietymalaysia).

#kw, tuanku Zara, kanser, purple truck, saringan, luar bandar, Ipoh

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Ogos 2022 @ 12:17 PM