PENGARANG Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid (lima dari kanan) dan Pengarah Urusan Andaman Group Datuk Seri Dr Vincent Tiew (empat dari kanan) bersama penceramah menunjukkan jam tangan yang diberi percuma kepada pengunjung bertuah.
PENGARANG Urusan Kumpulan NSTP Datuk Abdul Jalil Hamid (lima dari kanan) dan Pengarah Urusan Andaman Group Datuk Seri Dr Vincent Tiew (empat dari kanan) bersama penceramah menunjukkan jam tangan yang diberi percuma kepada pengunjung bertuah.

Kuala Lumpur: Orang ramai yang ingin membeli rumah ataupun masih lagi tercari-cari rumah idaman masing-masing kini boleh merealisasikan impian berkenaan dengan berkunjung ke pameran dan forum hartanah, MyRumah yang akan bermula esok menawarkan pelbagai rumah kediaman mampu milik berharga sekitar RM500,000 ke bawah.

MyRumah pamerah hartanah yang julung kali dianjurkan oleh kumpulan The New Straits Times Press (Malaysia) Berhad (NSTP) dengan kerjasama Andaman Property Management Sdn Bhd (Kumpulan Adaman) bakal menampilkan pelbagai input penting dalam selok-belok dunia hartanah tempatan khususnya kepada kumpulan pembeli rumah pertama.

Pameran itu diadakan bagi memberi peluang kepada pembaca akhbar terbitan NSTP dan juga orang ramai mendapat lebih banyak maklumat berkenaan rumah mampu milik, pembiayaan dan pinjaman perumahan serta selok-belok perundangan yang perlu diambil kira sebelum membeli.

MyRumah disasarkan menerima kunjungan kira-kira 15,000 orang di sekitar Lembah Klang dan lebih menarik lagi, pameran itu turut menawarkan sehingga 5,000 unit rumah kediaman daripada 20 projek yang sedang dan akan dibangunkan oleh pemaju terkemuka tempatan.

Antara pemaju hartanah yang menyertai pameran itu termasuk PNB Development Sdn Bhd, Kota Seriemas, D’Sara Sentral, LBS Bina Group Bhd, UMLand, UDA Holdings Bhd, Glomac Bhd, Thriven Global Bhd dan Putrajaya Holdings Sdn Bhd serta Malaysian Building Society Bhd (MBSB) sebagai penyedia pembiayaan perumahan.

Selain pameran daripada 12 peserta pameran yang terdiri daripada pemaju dan bank, ia juga akan memuatkan sesi ceramah daripada 18 barisan individu berpengaruh industri hartanah dan kewangan berkaitan hartanah meliputi pelbagai topik perbincangan berbeza.

Bagi menggalakkan pengunjung menyertai forum, penganjur turut menyediakan hadiah cabutan bertuah iaitu 50 jam tangan Ice-Watch eksklusif berharga RM450 dan 10 kad hadiah IKEA bernilai RM1,000 setiap satu.

Selain itu, mereka yang menempah unit kediaman lengkap dengan bayaran deposit ketika pameran berlangsung berpeluang memenangi cabutan bertuah dua tiket penerbangan ke Gold Coast, Australia.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 January 2016 @ 6:15 AM