Mohamad Hussin


PEMINAT raja buah masih berpeluang menikmati pelbagai jenis durian dan buah-buahan tempatan sempena program Duriotourism diadakan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kuala Kangsar di Kampung Talang Hulu, di sini.

Program yang berlangsung sejak Isnin sehingga Ahad ini kecuali Jumaat membolehkan pengunjung menikmati pelbagai jenis varieti durian keluaran MARDI iaitu MDUR78, MDUR79, MDUR88 selain D99 dan D24 dengan bayaran RM50 seorang.

Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang melawat ladang durian seluas 22 hektar dengan menaiki tram selain menikmati pelbagai buah-buahan tempatan seperti limau bali, manggis, rambutan dan kelapa.

Pengurus Stesen MARDI Kuala Kangsar Awis Puteh berkata, pengunjung akan dibawa melawat ke ladang buah-€“buahan tempatan terutama durian sekali gus dapat menikmati termasuk memetiknya sebagai daya tarikan utama di stesen MARDI itu.

"Terdapat enam tarikan yang ditawarkan di Duriotourism MARDI Kuala Kangsar iaitu Durio Tour, Durio Festival, Durio Products, Durio Muzium, Durio Chalet dan Friends of Durio.

"Duriotourism MARDI Kuala Kangsar dibuka mulai jam 9 pagi hingga 6 petang, dan ia mampu menerima kira-kira 150 pengunjung sehari sama ada melalui tempahan atau datang terus," katanya sempena lawatan media ke MARDI Kuala Kangsar, di sini.

Katanya, orang ramai perlu mengambil peluang sempena musim cuti persekolahan ini untuk menikmati buah-buahan tempatan yangberkonsepkan kampung dusun.

€œPengunjung boleh melakukan pelbagai aktiviti seperti Durio Tour iaitu melawat kawasan sekitar dan mendengar penerangan mengenai penanaman durian. Sejak ia dibuka bulan lalu, taman berkenaan sudah dikunjungi lebih 3,000 pengunjung.

Untuk maklumat lanjut boleh menghubungi MARDI Kuala Kangsar di talian 05-7733030.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 4:56 PM