PESERTA yang mengikuti Persidangan Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan Serantau, tahun lalu.
PESERTA yang mengikuti Persidangan Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan Serantau, tahun lalu.
Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Sebanyak 79 kertas kerja mengenai pengurusan dan kepemimpinan pendidikan akan dibentangkan pada edisi keempat Persidangan Kepemimpinan dan Pengurusan Pendidikan Serantau (RCELAM) 2015 di Institut Aminuddin Baki (IAB), Genting Highlands, hari ini.

Persidangan anjuran IAB dengan kerjasama Majlis Pengetua Sekolah Malaysia (MPSM) dan Majlis Guru Besar (MGB) itu disertai 307 peserta tempatan dan antarabangsa dari 10 negara termasuk Maldives, Russia, Kazakhstan, Turki, Singapura, India, Pakistan, Filipina, UAE dan Arab Saudi.

Tema persidangan RCELAM 2015 kali ini Era Mesin Kedua: Mitos, Cabaran dan Realiti kepada Pemimpin Pendidikan yang menyediakan platform wacana ilmiah mengenai impak globalisasi terhadap pemimpin pendidikan bagi melahirkan pemimpin bertaraf dunia.

Pengarah Institut Aminuddin Baki Serina Sauni berkata, program dwitahunan yang bermula sejak 2009 itu dianjurkan selaras status IAB sebagai pusat kecemerlangan latihan kepemimpinan dan pengurusan pendidikan serantau.

Katanya, ia juga selaras dengan hasrat institut untuk membimbing barisan hadapan pemimpin pendidikan khususnya pengetua dan guru besar.

Beliau berkata, kebanyakan kertas kerja yang bakal dibentangkan banyak berkisar mengenai kajian impak dan kesan globalisasi terhadap pengurusan dan kepemimpinan pendidikan.

“Selain itu, RCELAM juga akan menjadi medan mendedahkan peserta mengenai kemunculan teori baru mengenai kepemimpinan pendidikan dalam era masa kini yang akan dikongsi peserta dan pembentang dari luar negara.

“Saya juga berharap persidangan ini menggalakkan perkongsian ilmu dan kebijaksanaan baru mengenai kepemimpinan dan pengurusan dalam kalangan pemimpin pendidikan, ahli akademik dan pengamal pendidikan,” katanya.

Serina berkata, persidangan itu juga memberi pendedahan kepada peserta mengenai impak globalisasi dan era mesin kedua (the 2nd machine age) terhadap kepemimpinan dan pengurusan pendidikan selain menyediakan pentas wacana ilmiah berkaitan isu dan cabaran kepemimpinan pendidikan pada era globalisasi.

Selain itu, katanya, ia juga dapat meneroka kemunculan teori kepemimpinan dan pengurusan pendidikan bagi melahirkan pendidik berkelas dunia.

Dalam pada itu, Serina berkata, tiga pembentang ucaptama turut dijemput masing-masing Profesor Emeritus Dr John MacBeath dari Universiti Cambridge, London, Timbalan Naib Canselor INTI- Laureate International Universities Profesor Emeritus Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid dan Pro-Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Tan Sri Dr Yahaya Ibrahim.

Menurutnya, Dr John berpengalaman luas dalam bidang perundingan pendidikan terutama dengan Mesyuarat Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) dan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

“Sementara, Dr Ibrahim pula profesor dalam bidang pengurusan, pendidikan dan sains sosial selain pernah menjadi Pengarah Pusat Perancangan Pendidikan di UAE.

“Selain itu, Dr Yahaya berpengalaman dalam pendidikan antara negara terutama dalam kerjasama membabitkan negara Jerman, Amerika Syarikat dan Kanada,” katanya.

Katanya, RCELAM 2015 dirasmikan Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Sementara itu, Serina berkata, penganjuran RCELAM diteruskan selepas menerima sambutan menggalakkan daripada guru besar, pengetua, pegawai Kementerian Pendidikan, pensyarah universiti dan peserta luar negara.

Menurutnya, edisi pertama, kedua dan ketiga RCELAM yang dianjurkan sebelum ini berjaya mewujudkan jaringan profesional antara IAB dengan institut antarabangsa dari beberapa negara.

“Kami berjaya mewujudkan jaringan profesional dengan Institut Pengurusan Manipal, India khusus dalam bidang latihan, penyelidikan, penerbitan dan perundingan.

“Jaringan itu kemudian bertambah melalui perbincangan profesional bersama-sama pihak Monash University dan Nottingham University,” katanya.

Katanya, pihaknya juga menjalankan penyelidikan komparatif (perbandingan) bersama tiga negara iaitu Afrika Selatan, India dan Kazakhstan sehingga menghasilkan satu kertas penyelidikan bertajuk ‘Organisational Culture, Instructional Leadership and Trust: A Comparative Study in Malaysia, Kazakhstan and South Africa’ yang sudah dibentangkan IAB di Persidangan Meneroka Kepemimpinan dan Teori Pembelajaran di Asia 2014 (ELLTA 2014) di Universiti Sains Malaysia (USM).

Menurutnya, pihaknya juga menghasilkan penyelidikan komparatif bersama Institut Pengurusan Manipal pada 2010 bertajuk ‘Influence of Leadership Characteristics on Teachers’ Innovative Behaviour: Cross Cultural Comparisons of Malaysian and Indian Teachers’.

“Kami juga menerbitkan buku prosiding yang menghimpunkan kertas kerja persidangan dan pembentangan terpilih bagi RCELAM 2009; RCELAM 2011 dan RCELAM 2013 malah, ketiga-tiga buku berkenaan akan diberikan kepada peserta RCELAM 2015,” katanya.

Katanya, menerusi persidangan itu juga, pihaknya juga berjaya mewujudkan sekolah angkat di antara sebuah sekolah rendah di Bosnia, Sijaric Bosnia dengan Sekolah Kebangsaan Sultan Ahmad Tajuddin, Jitra, Kedah dan Sekolah Dasar Putren, Yogjakarta, Indonesia dengan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru, Sintok, Kedah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 November 2015 @ 6:11 AM