DR Noorul Ainur beramah mesra bersama peserta ketika hadir ke Wiculs 2016 di AKEPT, semalam.
DR Noorul Ainur beramah mesra bersama peserta ketika hadir ke Wiculs 2016 di AKEPT, semalam.

Nilai: Intipati persidangan Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin Universiti Islam Dunia (WICULS 2016) akan dijadikan sebahagian kurikulum di universiti seiring dengan hasrat melahirkan generasi berilmu dan berintegriti.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengajian Tinggi, Tan Sri Dr Noorul Ainur Mohd Nur berkata, penekanan WICULS 2016 kali ini diberikan kepada aspek peranan universiti dalam menyuburkan intelektualisme, kemanusiaan dan integriti mahasiswa.

“Melihat kepada kurikulum sedia ada dan cabaran akan datang, ia memerlukan penambahbaikan dengan menekankan aspek pembelajaran dalam Islam.

“Perkara ini perlu dititikberatkan dalam usaha melahirkan graduan yang seimbang merangkumi intelek, rohani dan jasmani selain menjauhkan diri daripada perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam seperti rasuah,” katanya selepas merasmikan WICULS 2016 di Akademi Kepemimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), semalam.

Hadir sama, Naib Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Datuk Dr Musa Ahmad, Pengarah AKEPT, Prof Dr Mohamad Kamal Harun dan Pengerusi WICULS 2016, Prof Dr Roshada Hashim.

Seramai 100 peserta terdiri daripada kepemimpinan tertinggi universiti dari 10 negara menyertai persidangan berkenaan yang berlangsung selama tiga hari anjuran USIM dan AKEPT.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 7:59 AM