ANGGOTA polis menunjukkan motosikal  hilang yang ditemui semula.
ANGGOTA polis menunjukkan motosikal hilang yang ditemui semula.
Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Curi dan jual kepada warga asing. Itu modus operandi diguna pakai sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri motosikal di daerah ini.

Bagaimanapun, taktik itu ditumpaskan apabila 10 lelaki tempatan berusia lingkungan 17 dan 25 tahun ditahan polis dalam beberapa serbuan di daerah ini dan Hutan Melintang, Perak, awal bulan ini.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, kumpulan penjenayah itu hanya menggunakan kunci diubah suai untuk mencuri motosikal sebelum menjualnya.

Beliau berkata, polis menemui semula 12 motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah ini beberapa bulan lalu.

Menurutnya, motosikal dicuri itu dibeli ‘orang tengah’ yang juga warga asing sebelum dijual kepada pendatang asing pada harga rendah.

“Suspek pertama ditahan di Kampung Sepintas pada 1 Oktober lalu dan polis merampas beberapa komponen motosikal yang disimpan di dalam rumah itu.

“Rentetan penahanan suspek itu, polis menahan rakannya yang lain di Kampung Nelayan, Sungai Besar dan Kampung Teluk Buloh, Hutan Melintang, Perak serta merampas pelbagai komponen dan peralatan curi motosikal,” katanya.

Nor Azmi berkata, polis kemudian menahan tujuh lelaki Indonesia berusia 21 dan 45 tahun yang menjadi ‘orang tengah’ membeli motosikal curi.

“Semua lelaki tempatan yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 379 (a) Kanun Keseksaan (KK) kerana mencuri kenderaan, Seksyen 414 KK keana melupuskan barangan curi dan 411 KK kerana memiliki barang curi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Oktober 2015 @ 5:51 AM