Kuala Lumpur: Negara Asia Tenggara diminta memainkan peranan penting membantu menyelesaikan isu penculikan rakyat Jepun yang didalangi agensi perisikan Korea Utara.

Menteri dan Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Awam Jepun Eriko Yamatani menegaskan hasrat berkenaan pada Mesyuarat Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC)+3 (Jepun, China dan Korea Selatan) di sini, semalam.

“Antara isu yang dibincangkan dalam mesyuarat pagi tadi (semalam) adalah jenayah rentas sempadan, keganasan melalui siber, terrorisme antarabangsa, pemerdagangan manusia dan penyeludupan dadah.

“Saya pula menyuarakan mengenai isu penculikan oleh agensi Korea Utara dan dengan tegas perlukan kerjasama ASEAN untuk menyelesaikan isu ini,” katanya kepada media pada hari ketiga AMMTC ke-10.

Katanya, perlu ada perpaduan dan kerjasama dalam masyarakat antarabangsa bagi menyelesaikan masalah penculikan dan masalah hak asasi manusia di Korea Utara.

Menurutnya, Jepun bersama China dan Korea Selatan yang juga rakan dialog ASEAN berpeluang berkongsi pendapat mengenai jenayah rentas sempadan terutama berkaitan aktiviti keganasan dan siber.

Yamatani berkata, dengan peningkatan jenayah rentas sempadan yang serius, negara rakan dialog terbabit perlu memainkan peranan penting dalam berkongsi maklumat dan teknologi bersama anggota rantau ini.

“Kami perlu berkongsi maklumat dan teknologi supaya dapat meningkatkan lagi keupayaan kami. Jadi, forum ini amat penting untuk semua pihak.

“Jepun turut berkongsi maklumat mengenai latihan yang dijalankan oleh Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) selain seminar dan persidangan yang diadakan bersama negara lain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Oktober 2015 @ 7:31 AM