Kuala Lumpur: Agensi pelancongan yang mampu menawarkan pakej umrah di bawah harga RM3,100 seorang mungkin terbabit dalam penipuan kerana harga tidak masuk akal dan merugikan.

Presiden Persatuan Agensi Pelancongan dan Pengembaraan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) Datuk Syed Mohd Razif Syed Yasin Al Yahya berkata, ini kerana kos penerbangan saja sudah berharga antara RM3,100 hingga RM3,500.

“Itu tidak termasuk kos visa, makan dan penginapan lagi. Tidak logik jika ada agensi boleh tawarkan harga lebih rendah daripada itu atau jika ada pun, ia mungkin satu penipuan.

“Malah jika ada agensi yang mampu tawarkan harga lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU) sebanyak RM4,900, mereka perlu dapatkan kelulusan MKSU dan bukannya sewenang-wenangnya meletakkan harga yang rendah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di sini, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, dalam laporan akhbar semalam yang menyebut sebanyak 2,161 kes penipuan umrah difailkan di Tribunal Tuntutan Pengguna sepanjang 2012 hingga Mac tahun ini membabitkan jumlah tuntutan lebih RM12.76 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2015 @ 5:27 AM