Sebahagian kakitangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan keluarga berdoa sebelum berlepas menunaikan umrah. - Foto Fail
Sebahagian kakitangan Kumpulan Media Prima Berhad (MPB) dan keluarga berdoa sebelum berlepas menunaikan umrah. - Foto Fail
BERNAMA

Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihat tidak menerima penawaran pakej umrah bernilai bawah RM4,900 iaitu bawah paras harga minimum ditetapkan Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata kesedaran pengguna adalah penting untuk menyemak maklumat terkini mengenai pakej umrah yang ditawarkan menerusi laman web kementerian berkenaan.

"Harga pakej minimum yang ditetapkan MKSU adalah RM4,900 untuk tempoh umrah 12 hari 10 malam. Ini untuk menyedarkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan tawaran pakej umrah murah. Kalau murah daripada itu, tidak boleh," katanya pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Yunus Kurus mengenai langkah menangani kes penipuan umrah dan khidmat upah badal haji kebelakangan ini yang menimbulkan kekeliruan.

Menurut Mas Ermieyati, bukan sahaja masyarakat luar bandar terpedaya dengan tawaran pakej umrah murah malah golongan profesional juga tidak terkecuali kerana ramai yang tertarik dengan harga murah ditawarkan.

Beliau berkata, 3,411 kes penipuan pakej umrah bernilai kira-kira RM18.6 juta dilaporkan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi

dan Kepenggunaan sejak 2012 hingga Mac tahun ini. Sepanjang tahun ini pula, setakat ini, 210 kes penipuan umrah dilaporkan.

Mas Ermieyati berkata selain penetapan harga minimum umrah, MKSU yang ditubuhkan untuk mengekang dan mengawal kegiatan penipuan pakej umrah turut memperkenal lesen khas umrah, kempen kesedaran dan meningkatkan aktiviti pemantauan serta penguatkuasaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 April 2016 @ 9:24 PM