SUSPEK    yang  ditahan dalam kejadian pecah rumah  di Garden City Homes, kelmarin.
SUSPEK yang ditahan dalam kejadian pecah rumah di Garden City Homes, kelmarin.

Seremban: Cubaan seorang lelaki memecah masuk dan melarikan barang berharga dari sebuah rumah di Garden City Homes, Seremban 2, di sini, tidak berhasil apabila perbuatannya disedari polis, kelmarin.

Sumber berkata, dalam kejadian jam 7 pagi, suspek berusia 20-an memasuki kediaman berkenaan ketika pemiliknya keluar bekerja.

Katanya, suspek masuk ke dalam kediaman dengan mengumpil pintu bahagian belakang rumah sebelum mengambil barangan berharga termasuk komputer riba, wang tunai RM1,000, jam tangan dan gelang.

“Ketika dia mahu melarikan diri melalui pintu belakang, anggota polis yang melakukan rondaan di kawasan itu melihat kelibatnya.

“Polis terbabit mengejar suspek sebelum menahannya. Anggota polis memaklumkan penahanan itu kepada bilik gerakan dan pemilik rumah,” katanya.

Sumber berkata, pemilik rumah pulang dan mendapati ruang tamu rumah berselerak selain pintu belakang diumpil suspek.

Beliau berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban, di sini, untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek dan siasatan lanjut dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 September 2015 @ 5:34 AM