GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor


PENJENAYAH bukan saja melarikan wang tunai dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), malah turut mengambil 30 botol minyak sembahyang dalam kejadian pecah masuk sebuah tokong di Taman Dusun Setia, Seremban, hari ini.

Kejadian berlaku pada 8 pagi itu disedari seorang penjaga premis berusia 56 tahun sebaik tiba di tokong berkenaan untuk melakukan upacara keagamaan.

Sumber berkata, lelaki itu mendakwa sudah mengunci pintu ketika meninggalkan premis pada 1 tengah hari, semalam.

“Ketika tiba pagi tadi, dia mendapati pintu hadapan tokong diumpil dan dipecahkan. Pemeriksaan mendapati kehilangan wang tunai RM250, beberapa alatan sembahyang berserta peralatan CCTV,” katanya.

Katanya, penjaga premis turut mendapati penjenayah melarikan 30 botol minyak sembahyang lalu membuat laporan di Balai Polis Rahang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Thiew Hock Poh ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Jun 2018 @ 10:24 PM