Bom tangan mainan dirampas dari seorang lelaki ketika memecah masuk rumah anggota polis di Taman Intan Jaya, Kapar, Klang, Selangor semalam. Foto Ihsan Polis.
Bom tangan mainan dirampas dari seorang lelaki ketika memecah masuk rumah anggota polis di Taman Intan Jaya, Kapar, Klang, Selangor semalam. Foto Ihsan Polis.
Amirul Aiman Hamsuddin

TINDAKAN seorang lelaki yang mempunyai 10 rekod jenayah lampau memecah masuk rumah anggota polis membawa padah apabila dia ditahan di Taman Intan Jaya, Kapar, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, suspek berusia 20-an yang dalam keadaan khayal akibat pengambilan alkohol ditahan anggota polis berusia 32 tahun yang juga pemilik kediaman.

Ketua Polis Daerah Klang Utara Asisten Komisioner Nurulhuda Mohd Salleh berkata, anggota polis terbabit mulanya menyedari sesuatu tidak kena apabila rumahnya mengalami gangguan elektrik sebelum turun ke tingkat bawah bersama seorang rakan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati bahagian dalam kediamannya berselerak dan pintu jeriji terbuka disyaki akibat diumpil.

"Mangsa kemudian mengunci semula pintu jeriji itu dan membuat pemeriksaan di tingkat atas kediaman. Dia kemudian ternampak suspek bersenjatakan pisau berada di salah sebuah bilik.

"Suspek bagaimanapun mengugut mangsa menyebabkan berlaku pergelutan sebelum dia berjaya ditahan," katanya.

Nurulhuda berkata, susulan penahanan suspek, polis berjaya merampas pisau dan bom tangan mainan di dalam poket belakang seluar suspek.

"Suspek kini direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 January 2020 @ 2:43 PM