Penampang: Pada mulanya hanyalah sekadar ejek-mengejek, sebelum ia merebak hingga tidak terkawal dengan seorang pelajar lelaki tingkatan tiga di sebuah sekolah, di sini, dibelasah empat rakan sekelasnya dengan rakaman video pergaduhan berkenaan menjadi ‘viral’ di laman sosial Facebook dan aplikasi WhatsApp.

Video berdurasi 24 saat itu menyaksikan, mangsa sedang duduk di dalam kelasnya lalu didatangi seorang lelaki dipercayai rakan sekelasnya sebelum memukul mangsa.

Beberapa rakan suspek yang masih memakai seragam sekolah dan kemeja-T turut memukul dan menyepak mangsa hingga menyebabkannya rebah.

Selepas kejadian itu, mangsa membuat aduan kepada guru di sekolah berkenaan sebelum pihak sekolah membuat laporan kepada Pegawai Pendidikan Daerah Penampang mengenai kejadian itu.

Difahamkan, mangsa hanya lebam dan luka di siku akibat dibelasah empat pelajar lelaki yang juga rakan sekelasnya.

Pegawai Pendidikan Daerah Penampang Mojuntin Ebin berkata, kejadian itu berlaku pada Khamis lalu di sebuah sekolah menengah di daerah ini, namun ia sudah diselesaikan membabitkan kedua-dua ibu bapa pelajar berkenaan sebelum ia menjadi viral dalam media sosial.

“Sebaik dimaklumkan mengenai perkara itu oleh pengetua sekolah terbabit, kita terus mengambil tindakan dengan memanggil semua pelajar terbabit dan ibu bapa mereka.

“Keempat-empat pelajar lelaki yang terbabit dalam pergaduhan itu sudah digantung sekolah,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, perkara ini sudah diselesaikan sebelum ia menjadi viral di laman sosial Facebook dan WhatsApp dan keempat-empat pelajar terbabit juga diarahkan supaya menghadiri sesi kaunseling.

“Mangsa tidak mengalami kecederaan teruk dan hanya lebam dan luka di siku.

“Siasatan awal mendapati, pergaduhan itu tercetus ketika pertukaran kelas dan dipercayai berlaku ejek-mengejek sebelum mangsa dibelasah oleh empat rakan sekolah namun kita masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya meminta orang ramai supaya tidak memperbesarkan perkara ini disebabkan ia sudah diselesaikan dan pelajar terbabit sudah diambil tindakan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 Ogos 2015 @ 5:17 AM