Kajang: Tidak puas hati ditegur membuat bunyi bising dengan motosikal menyebabkan kumpulan 20 pelajar sekolah menyerang 10 remaja lain menggunakan topi keledar.

Malah suspek mengejar seorang daripada mangsa yang cuba menyelamatkan diri menyebabkan remaja berusia 16 tahun itu cedera teruk akibat terlanggar tiang elektrik.

Sumber berkata, suspek yang juga kumpulan pelajar lelaki sekolah menengah di Hulu Langat di sini, menyerang mangsa pada jam 3 petang, Khamis lalu.

Menurutnya, kumpulan pelajar samseng itu pergi ke sebuah kedai makan sebelum menyerang 10 pelajar menggunakan topi keledar.

“Insiden itu menyebabkan mangsa yang sedang makan itu lari bertempiaran dan menimbulkan keadaan kecoh di kawasan berkenaan,” katanya.

Sumber berkata, seorang mangsa yang diserang melarikan diri menaiki motosikal, namun dikejar dua suspek sehingga terbabas dan melanggar tiang elektrik.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Ampang untuk rawatan lanjut,” katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Willey Richard mengesahkan kejadian itu dan pihaknya menjalankan siasatan kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 8:05 AM